Program SMART SBB tingkat pengeluaran beras negara

Program SMART SBB tingkat pengeluaran beras negara

Kuala Lumpur: Program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) berjaya meningkatkan pendapatan dan produktiviti pesawah melalui pengurusan sumber secara optimum di bawah program penyatuan tanah sawah.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata program itu adalah antara inisiatif Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) ke arah meningkatkan tahap sara diri (SSL) beras negara melalui kerjasama strategik dengan pihak swasta terutama pemain industri padi dan beras.

Katanya, ia penting bagi memastikan sekuriti bekalan beras negara sentiasa terjamin walau dalam apa keadaan sekalipun.

“Elemen jaminan sekuriti makanan adalah prioriti MAFI dalam usaha meningkatkan ketersediaan makanan negara dengan dasar utama kementerian iaitu Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) dan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara (DSMN) 2021-2025.

“Program SMART SBB ini juga dijangka dapat mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah selain turut meningkatkan hasil pendapatan pesawah sebanyak 50 peratus.

“Tiga entiti utama yang akan terlibat secara langsung dalam melaksanakan program SMART SBB adalah pesawah, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan syarikat peneraju yang dilantik oleh kerajaan,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) SMART SBB, di sini, semalam.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah; Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Haslina Abdul Hamid dan Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Azulita Salim.

Jalinan kerjasama pintar dan strategik awam-swasta itu bermula pada 23 Februari 2021 di antara MAFI dengan 11 syarikat peneraju bagi Sesi 1/2021 yang menyasarkan pembangunan kawasan penanaman padi seluas 300,000 hektar menerusi pelbagai kaedah pelaksanaan seperti pertanian kontrak, sewaan atau pendekatan lain yang bersesuaian.

Semalam, tujuh lagi syarikat peneraju bagi Sesi 2/2021 menandatangani MOU dengan kerajaan yang turut dihadiri pemain industri termasuk wakil
pesawah program SMART SBB Sesi 1/2021 dengan disaksikan Ronald Pengurusan Tertinggi MAFI.

Tujuh syarikat peneraju Program SMART SBB yang bersetuju menandatangani komitmen dan kerjasama strategik itu ialah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Satu Cita Sdn Bhd, PTG Builder Services Sdn Bhd, Sermaju Agro Sdn Bhd, Panji Tulin Enterprise, Advansia (Sarawak) Sdn Bhd dan Unggul Venture Sdn Bhd.

Ronald berkata, penggunaan teknologi canggih atau Internet of Things (IoT) selaras dengan pembangunan Industrial Revolution 4.0 (IR4.0) dalam penanaman padi adalah elemen penting yang ditekankan dalam Program SMART SBB.

Katanya, antara teknologi itu ialah penggunaan dron bagi pemantauan yang lebih berkesan dan penyemburan input pertanian seperti baja dan racun.

Jelasnya, elemen teknologi yang diterapkan dapat mengurangkan kos penanaman di samping meningkatkan produktiviti hasil padi.

“Kejayaan Program SMART SBB Sesi 1/2021 diterjemahkan melalui pencapaian Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) MAFI. Sehingga Oktober 2021, bilangan pembabitan dan hasil pendapatan kumpulan sasar iaitu pesawah melebihi sasaran yang ditetapkan iaitu sebanyak 280 peratus.

“Seramai 3,811 orang pesawah mendapat manfaat daripada program SMART SBB melibatkan kawasan penanaman padi seluas 9,777.7 hektar di beberapa tempat termasuk IADA Barat Laut Selangor dan IADA Seberang Perak,” katanya.

Majlis MOU SMART SBB Sesi 2/2021 kali ini turut diserikan dengan Pelancaran Buku Koleksi SMART SBB ‘Lonjakan Lestari Industri Padi dan Beras’ yang memaparkan koleksi kisah kejayaan pelaksanaan program dan pelancaran produk hasil Program SMART SBB Sesi 1/2021 iaitu Beras Wangi Tempatan Sunflower dari Ladang SMART SBB Sekinchan.

Beras itu dijangka berada di pasaran di seluruh negara mulai 10 November 2021 dengan harga runcit RM33 bagi pek lima kilogram.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|