4 penagih dan pengedar ditahan Op Sarang

4 penagih dan pengedar ditahan Op Sarang

Sipitang: Empat daripada tujuh individu yang dipercayai terbabit dalam aktiviti pengedar dan penagih dadah di Kampung Long Mio dan Kampung Long Pasia, di sini, ditahan dalam operasi Op Sarang, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sipitang, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sipitang, Deputi Superintendan Champin Piuh yang mengetuai operasi berkenaan berkata, serbuan dijalankan dengan kerjasama Balai Polis Sindumin.

Katanya, hasil operasi itu, pihaknya berjaya menahan sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton yang dinaiki dua lelaki tempatan.

“Hasil pemeriksaan, kedua-dua suspek dipercayai menggunakan kenderaan berkenaan untuk membawa dan menghantar bekalan dadah syabu ke Kampung Long Mio dan Kampung Long Pasia.

“Sebaik ditahan, kedua-dua suspek kemudiannya membawa dan menunjukkan rumah pengedar serta penagih dadah syabu di kampung berkenaan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Champin berkata, hasil serbuan di rumah dipercayai milik pembekal dadah syabu itu kemudiannya membawa kepada penahanan lima lagi individu.

Katanya, pemeriksaan lanjut berjaya menemui ketulan lutsinar disyaki syabu seberat kira-kira 1.90 gram bernilai RM200.

“Hasil ujian saringan awal air kencing yang dijalankan terhadap semua tujuh tangkapan terbabit mendapati tiga orang daripadanya negatif manakala empat orang positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

“Empat suspek ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15 (1)(a) akta yang sama,” katanya.

Menurutnya, tiga lagi individu yang disahkan negatif dalam ujian saringan air kencing itu pula dibebaskan.

Sehubungan itu, Champin berkata, operasi ini akan diteruskan lagi bagi mengesan saki baki penagih dan pembekal dadah syabu terutamanya di kedua-dua kampung berkenaan dan kawasan lain sekitar daerah Sipitang walaupun jauh di pedalaman.

Katanya, selaku ketua polis Sipitang, beliau tidak akan berhenti atau memberi ruang serta peluang kepada pengedar, pembekal dan penagih dadah untuk melakukan jenayah berkenaan yang menjadi pemusnah masa depan dan rumah tangga.

“Nasihat saya kepada penagih supaya berhenti dan bertaubatlah. Begitu juga kepada pembekal dan pengedar dadah, hentikanlah kegiatan ini yang merosakkan kaum dan saudara-mara sendiri terutamanya di daerah Sipitang ini,” tegasnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|