Covid-19 Sabah: Kes sporadik semakin naik

Covid-19 Sabah: Kes sporadik semakin naik

Kota Kinabalu: Kes Covid-19 berpunca daripada saringan bergejala yang dikaitkan dengan jangkitan sporadik mencatat peratusan tinggi dengan 41.7 peratus atau 239 kes daripada 573 kes yang direkodkan di Sabah hari ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata kes yang dikaitkan dengan kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) itu turut dikesan melebihi 50 peratus daripada jumlah kes di beberapa daerah.

Katanya, ia juga antara sebab kes harian Covid-19 di Sabah hari ini terus mencatat peningkatan iaitu bertambah sebanyak 28 kes berbanding 545 kes yang dicatatkan semalam.

“Peningkatan kes yang agak tinggi berlaku di beberapa daerah termasuk Kota Kinabalu yang naik 32 kes menjadikan jumlah 85 kes hari ini.

“Kes melalui saringan bergejala adalah tinggi, iaitu 34 kes berbanding 38 kes kontak rapat. Terdapat 10 kes yang melibatkan OKT (tahanan/penjara) dan tiga lagi dikesan melalui lain-lain saringan.

“Daerah lain yang mencatat peningkatan agak besar ialah Tuaran (+29 kes), Putatan (+20 kes), Papar (+19 kes), Kuala Penyu (+12 kes) dan Sandakan (+11 kes).

“Sementara itu, daerah yang mencatat penurunan signifikan pula ialah Tawau (-20 kes), Kota Marudu (-17 kes), Sipitang (-15 kes) dan Ranau (-13 kes),” katanya dalam kenyataan, petang ini.

Beliau berkata, secara keseluruhan sebanyak 13 daerah mencatat peningkatan kes, 12 daerah mencatat penurunan kes dan dua daerah kekal sebagaimana catatan semalam.

Jelasnya, sebanyak 23 daerah mencatat di bawah 40 kes, manakala empat daerah mencatat lebih 40 kes.

“Analisis jumlah kes yang dicatat hari ini menunjukkan sebanyak 344 kes atau 60 peratus adalah kes yang berlaku dalam tempoh 24 jam yang lalu.

“Selebihnya iaitu 39.8 peratus lagi adalah kes yang didaftarkan antara dua hingga lima hari setelah keputusan ujian saringan diperolehi. Hanya satu kes hari ini didaftar lewat melebihi 5 hari,” katanya.

Sementara itu, katanya jumlah pesakit dalam kategori serius yang memerlukan rawatan di hospital kekal rendah dengan hanya empat pesakit dalam Kategori 3, enam pesakit dalam Kategori 4 dan dua pesakit dalam Kategori 5.

Tambahnya, sebanyak 557 kes atau 97.2 peratus daripada 573 kes hari ini adalah dalam Kategori 1 (71 kes) dan Kategori 2 (486 kes).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|