Pelajar UMS hasilkan inovasi makanan sihat CaShoots Nugget

Pelajar UMS hasilkan inovasi makanan sihat CaShoots Nugget

Kota Kinabalu: Produk inovasi makanan sihat ‘CaShoots Nugget’ merangkul Anugerah Khas Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar (PKPP) dan Anugerah Emas pada Karnival Inovasi PKPP Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang berlangsung secara dalam talian baru-baru ini.

Inovasi yang dihasilkan mahasiswa kursus kokurikulum berkredit Interaksi Institusi dan Masyarakat (INTERIM) Seksyen 7 diiktiraf semua juri kerana menepati ciri ‘inovasi mudah dan realistik’.

Produk yang turut dikenali ‘Cassava Plant Nugget’ itu menggunakan pucuk ubi, tepung kanji, tepung gandum, minyak masak dan telur ayam sebagai resipi utama.

Mereka turut muncul sebagai pemenang Anugerah Pembentangan Terbaik kategori ‘secara langsung’ melalui pembentangnya, Alec Sean Tiannok Sunga.

Bagi Anugerah Pembentangan Terbaik Kategori Video, pemenangnya pula disandang mahasiswa Pengurusan Organisasi Pelajar Seksyen 102.

Dalam pada itu, Pengarah PKPP UMS, Dr Jurry Foo, berkata karnival inovasi yang diadakan buat julung kali bermula sesi 2021/2022 itu adalah satu usaha memupuk budaya reka cipta dalam kalangan mahasiswa.

Katanya, ia adalah komponen baharu Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) tambahan kursus kokurikulum berkredit.

“Pada semester ini, kita menerima penyertaan 61 inovasi daripada semua kursus yang ditawarkan di PKPP termasuk peserta mahasiswa dari UMS Kampus Antarabangsa Labuan (KAL) dan Fakulti Pertanian Lestari Sandakan.

“Karnival ini menyaksikan 13 inovasi dianugerahkan sijil emas, 31 perak dan 17 gangsa.

“Secara keseluruhannya, saya amat berbangga dengan kesungguhan dan komitmen jurulatih dan mahasiswa dalam menghasilkan idea mereka.

“Oleh itu, saya juga berbesar hati menaja pemenang khas Anugerah Pengarah PKPP semester ini mewakili UMS dalam sebuah pertandingan inovasi atas talian di peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Jurry berkata, tiga lagi kumpulan peserta lain yang menunjukkan pencapaian yang baik ditaja oleh dua Timbalan Pengarah PKPP, Dr Colonius Atang dan Prof Madya Dr Pathmanathan K Suppiah; dan Ketua Penyelaras Karnival Inovasi PKPP, Dr Sharifah Rahama Amirul.

“Bagi pihak PKPP, kita juga akan terus berusaha menawarkan perkhidmatan pendidikan yang cemerlang, khususnya bagi kursus kokurikulum berkredit agar dapat memainkan fungsi yang efektif menyokong ekosistem pendidikan universiti,” katanya.

Majlis penutupan karnival dua hari itu disempurnakan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS, Prof Madya Dr Raman Noordin mewakili Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin.

Dalam teks ucapannya, Taufiq berkata UMS menyokong penuh usaha PKPP membentuk pelajar yang holistik melalui inovasi, sejajar dengan visi Kementerian Pendidikan Tinggi iaitu Pendidikan Tinggi Berkualiti, Insan Terdidik, Negara Sejahtera.

“Ini juga amatlah bertepatan dengan hasrat negara ke arah melahirkan modal insan berkualiti dan terdidik bukan hanya dalam bidang akademik malahan dalam kemampuan untuk menguasai kemahiran insaniah.

“Sesungguhnya, generasi yang seimbang dalam pelbagai aspek adalah aset permata negara untuk memacu pembangunan sekali gus meningkatkan keupayaan Malaysia bersaing hingga ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, penerima Anugerah Jurulatih Terbaik, Sakinah Ithnin ketika ditemui berkata Karnival Inovasi PKPP mewujudkan semangat berdaya saing dalam kalangan mahasiswa yang berada di bawah bimbingannya.

“Menerusi program ini kerjasama di antara mahasiswa lebih mudah dibentuk. Syabas dan tahniah diucapkan kepada pihak pengurusan PKPP atas inisiatif penganjuran karnival yang sungguh memberi manfaat.

“Semoga program seumpama ini akan dapat diteruskan lagi pada masa-masa akan datang,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|