STB-SICC sedia bekerjasama promosi pusat konvensyen

STB-SICC sedia bekerjasama promosi pusat konvensyen

Kota Kinabalu: Lembaga Pelancongan Sabah (STB) sedia bekerjasama untuk memasarkan Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) dengan lebih efektif di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Ia membabitkan mempromosikan SICC sebagai lokasi pilihan mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) pada ekspo pelancongan dunia akan datang di Dubai, bulan depan.

Delegasi SICC yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Rosmawati Lasuki turut berkesempatan untuk mengadakan perbincangan dengan Pengerusi STB Datuk Joniston Bangkuai.

Ia bagi membincangkan kerjasama antara kedua pihak dalam menghasilkan perancangan strategik bagi menarik aktiviti persidangan, pameran atau mesyuarat ke Sabah.

Joniston berkata, inisiatif kerjasama antara STB dan SICC amat diperlukan dalam usaha saling melengkapi bagi merangka rancangan strategik.

Malah katanya, pihaknya mempunyai rancangan untuk mengadakan persidangan pelancongan luar bandar antarabangsa.

“Memandangkan Sabah adalah perintis untuk pelancongan berasaskan komuniti luar bandar, kita boleh memanfaatkannya dan mengadakan persidangan di sini.

“Oleh itu, kita boleh mula memikirkan acara-acara yang boleh kita anjurkan agar dapat membawa pemain MICE ke negeri ini dan seterusnya mempromosikan pusat konvensyen SICC. Inisiatif ini harus dimulakan,” katanya.

Turut hadir Timbalan Pengurus Besar (Pemasaran dan MICE) STB, Tay Shu Lan, dan ketua unit MICE STB, Georgina Jinu.

Joniston berkata, pusat konvensyen SICC mempunyai kelebihan dalam mempromosikan sebagai lokasi MICE atau perhimpunan sosial lain seperti perkahwinan berdasarkan rekabentuk bangunannya yang unik serta lokasinya yang strategik menghadap laut dan berhampiran dengan pusat bandar.

Katanya, keperluan menubuhkan Biro Konvensyen Negeri turut dibincangkan dalam perjumpaan itu dengan matlamat untuk memasarkan Sabah sebagai destinasi MICE dan acara-acara perniagaan lain.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|