Bomba pujuk lelaki cuba terjun dari menara pencawang

Bomba pujuk lelaki cuba terjun dari menara pencawang

Semporna: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berjaya memujuk seorang lelaki daripada membunuh diri di sebuah menara pencawang telekomunikasi di Kampung Cina, Jalan Pekan Semporna, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, lelaki berusia 30-an terbabit berjaya dibawa turun menggunakan tangga sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.51 tengah hari.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan empat anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa dikesan masih berada di bahagian atas pencawang berkenaan dipercayai cuba untuk membunuh diri.

“Pasukan bomba kemudiannya terus memanjat menara pencawang setinggi kira-kira 30 meter itu untuk memujuk lelaki terbabit,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, sebaik sampai di bahagian atas menara berkenaan, pasukan operasi terus menjalankan operasi memujuk mangsa untuk turun ke bawah.

Katanya, mangsa kemudiannya turun dengan sendiri melalui tangga sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Tiada kecederaan dilaporkan dan mangsa juga berada dalam keadaan selamat sebelum operasi tamat pada jam 2.47 petang,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|