Jalan menghubungkan Kota Kinabalu-Keningau-Tenom terputus

Jalan menghubungkan Kota Kinabalu-Keningau-Tenom terputus

Keningau: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah mengesahkan laluan utama menghubungkan Kota Kinabalu-Keningau-Tenom berhampiran Kampung Liau, di sini, terputus, semalam.

Kejadian runtuhan tanah yang dilaporkan berlaku jam 8 malam itu mengakibatkan jalan berkenaan langsung tidak boleh dilalui semua jenis kenderaan.

Pengarah JKR Sabah, Ir Ali Ahmad Hamid yang mengesahkan runtuhan berkenaan berkata, tiada sebarang kemalangan jiwa atau kenderaan dilaporkan mengalami kerosakan akibat kejadian berkenaan.

Katanya, setakat ini, pihaknya percaya runtuhan dipercayai berlaku akibat kegagalan pembetung sementara (Culvert) disebabkan hujan lebat berterusan.

“Situasi jalan ketika ini masih belum boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan dan kerja-kerja lencongan sementara juga sedang giat dijalankan ketika ini.

“Buat sementara waktu, semua penduduk dan pengguna jalan raya dinasihatkan supaya menggunakan Jalan Ranggom Kepayan – Magatang sebagai jalan alternatif,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ali Ahmad berkata, kerja-kerja pembaikan kekal akan dimulakan dalam jangka masa terdekat.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|