Labuan: Sektor Pendidikan Islam (SPI), Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL), baru-baru ini mengambil inisiatif mengadakan Kursus Tahsin Al Quran dalam kalangan Guru Pendidikan Islam dan pelajar Kelas Aliran Agama (KAA) bagi meningkatkan kemahiran dalam mengajar Al-Quran.
Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam JPWPL, Kamariah Salim, berkata kursus itu bertujuan memberi nilai tambah terhadap kemahiran Al-Quran melalui bacaan taranum, hukum tajwid dan kaedah pengajaran Al-Quran yang menarik dan interaktif.
“Saya berharap guru-guru dapat mengaplikasikan kemahiran yang dipelajari bagi meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran kemahiran Al-Quran kepada murid dan pelajar di sekolah.
“Kepentingan mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya kepada orang lain adalah syariat yang dibawa oleh Rasulullah SAW,” katanya pada majlis penutupan kursus berkenaan, baru-baru ini.
Johan e-hafazan Peringkat Kebangsaan Sekolah KPM, Nurin Nuha memperdengarkan bacaan Al-Quran.
Seramai 170 peserta yang terdiri daripada guru Pendidikan Islam dan Bahasa Arab sekolah rendah dan menengah mengikuti kursus melalui google meet dan Youtube Ustaz Azizan channel.
Program itu selaras dengan misi Kementerian Pendidikan (KPM) ke arah ‘Melestarikan sistem pendidikan yang berkualiti untuk membangunkan potensi individu bagi memenuhi aspirasi negara’.
Kursus Tahsin Al Quran secara telesidang menggunakan google meet dan Youtube.
Kursus yang dikendalikan oleh penceramah undangan, Ustaz Nik Azizan Datuk Nik Jaafar itu adalah satu usaha SPI dengan kerjasama Sektor Sumber Manusia JPWPL untuk meningkatkan kompetensi Guru Pendidikan Islam dan murid serta pelajar KAA mendalami ilmu kemahiran Al-Quran.
Nik Azizan berkata penguasaan Al-Quran merangkumi kemahiran mengaji, taranum, tahsin dan yang paling tinggi tahap tazyin.
Kursus itu menyentuh mengenai kewajipan memperbaiki bacaan Al-Quran, hukum tajwid dan kelebihan memahami ayat yang dibaca agar penghayatan dapat dirasai.
Bacaan ayat Al-Quran daripada Johan e-hafazan Peringkat Kebangsaan Sekolah KPM baru-baru ini, Nurin Nuha dari Tawau turut diperdengarkan sempena program itu.
Peserta turut dibimbing untuk membacakan surah An-Nas mengikut bacaan taranum bayati.
-Deasoka