Keningau: Seorang pemandu pacuan empat roda terselamat walaupun tersepit di bawah kenderaannya selepas terbabas dalam kemalangan di Jalan Kampung Patikang, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, lelaki yang memandu kereta Isuzu D-max seorang diri dikatakan terbabas sendiri dan dipercayai menyebabkannya terhumban keluar sebelum tersepit di bawah kenderaannya.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.48 pagi.
Katanya, susulan laporan itu, sepasukan 10 anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerah ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa didapati tersepit di bawah tayar kanan kenderaan dipandunya.
“Pasukan bomba terus menjalankan kerja-kerja menyelamatkan mangsa sebelum berjaya dikeluarkan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, mangsa diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS di lokasi kejadian sehingga berada dalam keadaan stabil.
Katanya, mangsa yang mengalami kecederaan kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Pasukan bomba kemudiannya melakukan pemeriksaan akhir sekitar kawasan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat pada jam 5.32 pagi,” katanya.
-Deasoka