PRN Melaka: Politik Sabah berbeza, BN dan PN hanya buat eksperimen di Melaka

PRN Melaka: Politik Sabah berbeza, BN dan PN hanya buat eksperimen di Melaka

Kota Kinabalu: Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dilihat mahu melakukan eksperimen mengenai kekuatan akar umbi masing-masing menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini.

Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr Lee Kuok Tiung, berkata eksperimen itu bagi menentukan halatuju kerjasama mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Katanya, walaupun keadaan itu dilihat sebagai satu perselisihan di antara kedua-dua parti yang sama-sama membentuk kerajaan Pusat itu, perkara sama juga sebenarnya berlaku dalam gabungan pembangkang di Melaka.

“Saya melihat kedua-dua BN dan PN sedang membuat eksperimen melihat kekuatan masing-masing di peringkat akar umbi untuk menentukan halatuju kerjasama mereka pada PRU-15 akan datang.

“Perselisihan mahupun persaingan ini bukan saja berlaku di antara BN dengan PN kerana kita nampak DAP tidak hadir juga dalam pengumuman calon Pakatan Harapan (PH), baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas situasi pertembungan di antara BN dan PN pada PRN Melaka serta kesannya dalam hubungan pemimpin kedua-dua gabungan itu di Sabah.

Katanya, politik Sabah berbeza dengan Semenanjung dan apa yang diamalkan oleh ahli politik di sana tidak boleh atau tidak sesuai dibawa serta dilaksanakan di negeri ini.

“Politik Sabah lain dengan Semenanjung. Kita tidak boleh bawa model politik Semenanjung dan tempel (copy paste) di Sabah.

“Sabah ada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai platform politiknya meskipun ada kumpulan UMNO yang taksub dengan kepimpinan di peringkat Pusat.

“Begitupun kita perlu memahami mengapa senario ini berlaku iaitu kemungkinan besar disebabkan ingin menjadi calon pada PRU-15 akan datang,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai situasi di Melaka, Kuok Tiung berkata UMNO harus mengambil peluang pada PRN Melaka untuk merapatkan kerjasama dengan parti komponen BN dan tidak perlu lagi memikirkan kerjasama serta sokongan daripada PAS.

Katanya, UMNO seharusnya mempunyai keyakinan pada diri sendiri berbanding menyerahkan nasib mereka kepada ehsan org lain untuk kembali berkuasa.

“Selidiki asas yang menjadikan UMNO parti terkuat dan memerintah sebelum kejatuhan BN.

“Saya percaya jawapannya mudah iaitu Malaysia sebuah negara berbilang kaum dan agama dan BN mempraktiskan nilai-nilai inklusif tersebut sehinggalah ada pemimpin-pemimpin ysng mulai bermain politik perkauman yang membawa kepada kejatuhan BN.

“Toleransi merupakan kata kuncinya yang membawa kepada persefahaman,” katanya.

PRN Melaka yang berlangsung pada 20 November ini menyaksikan BN, PN dan PH bertembung di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|