Bermain ikut arahan kunci kemenangan Sang Badak

Bermain ikut arahan kunci kemenangan Sang Badak

Kota Kinabalu: Bermain mengikut arahan dan kekal fokus ketika diserang kunci utama kejayaan Sabah FC mempertahan gol tunggal tanpa balas dalam aksi terakhir Kumpulan D, Piala Malaysia 2021 menentang PJ City di Stadium Likas, malam tadi.

Permainan yang berkesudahan 1 – 0 itu sekali gus melayakkan skuad Sang Badak bergerak ke perlawanan suku akhir Piala Malaysia 2021 menentang Melaka United FC di Stadium Likas pada 14 November ini.

Mengakui berdepan cabaran getir bertemu PJ City, pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee, berkata langkah terbaik dilakukan pemain adalah untuk terus fokus terhadap permainan dan mematuhi arahan agar misi tidak tersasar.

“Pemain kita bermain mengikut arahan dan paling penting berusaha hingga minit terakhir untuk mempertahankan gol yang kita perolehi pada separuh masa pertama dan ini bukan mudah.

“Kita tahu dan kita menjangkakan PJ City banyak memberi tekanan khususnya pada separuh masa kedua tetapi kita berjaya mengawal keadaan dengan begitu baik,” katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan Sabah FC menentang PJ City FC, malam tadi.

Mengulas lanjut, bekas jurulatih skuad kebangsaan B23 itu, berkata tiada perubahan taktikal dilakukan untuk menghadapi asakan pemain PJ City pada separuh masa kedua meskipun sedar terpaksa berdepan serangan lebih agresif daripada pasukan pelawat itu.

“Seperti saya katakan pemain bermain mengikut arahan, itu yang penting kerana kita sudah menjangkakan sebelum permainan bermula lagi PJ City pasti bertindak lebih agresif.

“Walaupun kita mendahului, kita tahu akan menerima asakan demi asakan tetapi yang paling penting kita kekal fokus ketika diserang dan ini menjadi kelebihan kita,” katanya.

Dalam aksi malam tadi, Kapten Sabah FC, Risto Mitrevski menghadiahkan tiga mata kepada pasukan selepas berjaya menyempurnakan dengan baik tendangan penalti yang menumpaskan penjaga gol PJ City pada minit ke-20.

Meskipun PJ City bertindak balas dengan melakukan serangan demi serangan pada separuh masa kedua, namun gagal mendapatkan gol penyamaan sekali gus membolehkan keputusan 1 – 0 berpihak kepada Sabah FC itu kekal sehingga minit akhir permainan.

Mengulas persediaan menghadapi Melaka United pada Isnin depan, Kim Swee berkata pasukannya akan memanfaatkan peluang bermain di tempat sendiri untuk menguasai permainan dan mencipta kemenangan.

“Dalam perlawanan menentang PJ City kita juga berjaya mencipta beberapa peluang baik untuk menambah jaringan namun gagal diterjemahkan kepada gol.

“Jadi, kita mesti manfaatkan peluang seperti ini apabila bertemu Melaka United nanti, selain kelebihan bermain di tempat sendiri,” katanya.

Beliau mengakui perlawanan menentang Melaka nanti juga mencabar kerana bermain tanpa rehat dengan empat perlawanan dalam masa dua minggu, ditambah dua lagi perlawanan suku akhir selepas ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|