Penjawat awam hilang MyKad buat laporan palsu elak didenda JPN

Penjawat awam hilang MyKad buat laporan palsu elak didenda JPN

Labuan: Disebabkan mahu mengelak daripada dikenakan denda tinggi kerana kehilangan kad pengenalan kali ketiga, seorang penjawat awam sanggup membuat laporan polis palsu mendakwa dirinya disamun di Jalan Tun Mustapha, di sini, 3 November lalu.

Bagaimanapun, selepas berlaku percanggahan dalam keterangan laporan polis, lelaki berusia 27 tahun terbabit akhirnya mengaku membuat laporan palsu.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Ahmad Jawila berkata, mengikut siasatan awal, suspek yang bekerja di sebuah agensi kerajaan pada awalnya mendakwa disamun dua lelaki menaiki motosikal.

Katanya, kejadian dilaporan berlaku ketika suspek berjalan kaki menyeberangi Jalan Tun Mustapha di kawasan berhampiran pasaraya Milimewa menuju ke bangunan Paragon.

“Suspek melaporkan beg silang yang miliknya yang mengandungi dompet, kad pengenalan, lesen memandu kelas D, kad ATM dan wang tunai sebanyak RM50 serta telefon bimbit jenama Huawei 7 dicuri.

“Namun hasil keterangan yang diambil, polis mengesan berlaku percanggahan antara keterangan laporan polis yang dibuat ketika rakaman percakapan terhadap suspek,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ahmad berkata, suspek akhirnya membuat pengakuan bahawa laporan polis yang dibuat adalah tidak benar.

“Suspek sebenarnya tercicir dompet semasa keluar berhibur di salah sebuah premis kafe di kawasan pekan Jati hari kejadian,” katanya.

Sehubungan itu, Ahmad berkata, suspek bakal berdepan dengan tuduhan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan iaitu memberi maklumat palsu.

Katanya, jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan, atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

“Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat laporan palsu kerana boleh berdepan dengan hukuman sekiranya didapati bersalah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|