Kota Kinabalu: Murid Tahun 1 hingga Tahun 6 dan pelajar Kelas Peralihan serta Tingkatan 1 hingga Tingkatan 4 di Sabah akan kembali ke sekolah untuk mengikuti pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka mulai 22 November ini.
Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan, berkata tiada lagi kemasukan berperingkat mengikut tahap seperti diumumkan sebelum ini, namun kaedah penggiliran masih diteruskan bagi murid dan pelajar di sekolah harian kerajaan atau swasta.
Bagi sekolah berasrama, katanya semua pelajar datang ke sekolah serentak tanpa penggiliran seperti ditetapkan sebelum ini, namun pihak sekolah akan memaklumkan kepada ibu bapa mengenai perincian kemasukan pelajar ke asrama.
“KPM sentiasa memantau dan meneliti keadaan semasa pengoperasian sekolah secara bersemuka sejak dibuka semula pada 3 Oktober lalu.
“Dapatan daripada pemantauan dan penelitian menunjukkan bahawa pengoperasian sekolah berjalan dengan lancar dan teratur mengikut Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0.
“Setelah mengambil kira dapatan ini, serta situasi semasa pandemik Covid-19, Kementerian Pendidikan memutuskan kehadiran murid dan pelajar pada kali ini tidak dilaksanakan secara berperingkat, namun mengekalkan kaedah penggiliran,” kata kenyataan itu.
Pelajar kelas peperiksaan, khususnya Tingkatan 5 dan Tingkatan 6, selain kelas dan sekolah pendidikan khas sudah hadir ke sekolah untuk sesi bersemuka secara berperingkat sejak 3 Oktober lalu.
Pembukaan sepenuhnya sekolah untuk sesi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka selaras dengan peralihan Sabah ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula Isnin lalu.
Selain Sabah, negeri lain yang turut beralih ke Fasa 4 mulai tarikh yang sama ialah Kedah, Perak, Perlis dan Pulau Pinang.
Penutupan sekolah di Sabah bermula sejak Mei lalu berikutan peningkatan mendadak kes COVID-19 dan digantikan dengan kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).
-Deasoka