Kota Kinabalu: Sabah berjaya ke suku akhir Piala Malaysia 2021 bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas menundukkan PJ City FC 1 – 0 dalam aksi terakhir Kumpulan D di Stadium Likas, sebentar tadi.
Kapten pasukan, Risto Mitrevski menghadiahkan gol tunggal itu menerusi sepakan penalti yang disempurnakan pada minit ke-20 selepas penyerang Park Taesu dijatuhkan pemain PJ City ketika berlaku asakan di kawasan kotak penalti.
Risto turut mencipta peluang untuk menjaringkan gol seawal minit ketiga, namun tendangan jarak jauh dari luar kotak penalti menyebabkan bola tinggi melepasi palang gol PJ City.
PJ City turut berjaya mencipta beberapa peluang untuk menjaringkan gol termasuk satu cubaan mendebarkan apabila PJ City mendapat sepakan percuma dari luar kotak penalti Sabah pada minit ke-25.
Amri memainkan peranan penting dalam merencanakan gerakan serangan pasukan Sabah FC. Pix ihsan Sabah FC
Asakan pemain lawan berjaya menewaskan penjaga gol Rozaimie Rohim, namun diselamatkan dengan kedudukan offside pemain PJ City yang menyebabkan gol berkenaan tidak dikira.
Permainan kedua-dua pasukan agak kucar kacir berikutan keadaan padang yang becak disebabkan hujan lebat sebelum permainan bermula pada jam 9 malam tadi.
Situasi itu berterusan pada babak kedua permainan dengan Sabah berusaha mengekalkan kedudukan dan menambah gol, manakala PJ City pula berusaha menyamakan gol untuk sekurang-kurangnya mendapatkan satu mata.
Tekanan itu menyebabkan kedua-dua pasukan bermain secara agresif dengan masing-masing melakukan serangan demi serangan namun tiada satu pun berjaya menghasilkan gol.
Keputusan Sabah mengatasi PJ City dengan 1 – 0 akhirnya kekal hingga tamat tempoh permainan yang berlangsung selama 96 minit, termasuk enam minit masa tambahan.
Kemenangan malam ini juga adalah yang kedua buat skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee itu selepas menundukkan Kelantan FC pada Sabtu lalu.
-Deasoka