Radu Tatap Radu bergema di PRN Melaka:UMNO Sabah

Radu Tatap Radu bergema di PRN Melaka:UMNO Sabah

Melaka: Laungan keramat UMNO Sabah, ‘Radu Tatap Radu’ kini bergema di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas dan Duyong, Melaka.

UMNO Sabah yang merupakan negeri angkat kepada kedua-dua DUN itu sudah mula berkempen sejak dua hari lalu dengan mendekati para pengundi melalui program kempen berteraskan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan norma baharu.

Menurut Ketua Penerangan UMNO Sabah, merangkap Pengarah Operasi Jentera Umno Sabah PRN Melaka,Datuk Raime Unggi ketika dihubungi berkata, setakat ini, semua rombongan terlibat mempunyai semangat iltizam yang tinggi bagi membantu calon-calon bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.

Jelasnya, UMNO Sabah yang diketuai oleh Pengerusi Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berazam untuk memegang kan calon terlibat, Mohd Noor Helmy Abd Halem (DUN Duyong) dan Abdul Razak Abdul Rahman (DUN Teluk Mas).

“Kita dan rombongan diketuai YB Datuk Seri Bung Moktar telah bersama para pengundi di kawasan DUN ini bersempena PRN Melaka.

“UMNO Sabah akan membawa semangat kami, Radu Tatap Radu untuk dikumandangkan kepada para pengundi di kawasan DUN ini bagi membangkitkan semangat jentera-jentera BN serta calon yang bertanding,” katanya.

Jelas Raime, pergerakan sayap seperti Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Sabah turut terlibat secara langsung berkempen dengan menyantuni para pengundi.

“Kita memahami dan sedar pematuhan SOP ketat, kita menggunakan kaedah bersesuaian dengan selain berkempen, pemakluman disiplin kepada orang ramai turut dilaksanakan.

“Sebagai contoh, salah satu program yang kami adakan adalah pengagihan topeng pelitup muka di pasar malam melibatkan kawasan DUN Duyong oleh jentera Puteri kita yang dilihat bertepatan konsep kempen dalam norma baharu kali ini,” katanya.

Untuk rekod, semalam, proses penamaan calon PRN Melaka telah berlangsung membabitkan sebanyak 28 DUN.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 20 November hadapan tarikh mengundi bagi PRN Melaka.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|