Dua ditahan bersama rokok, minuman keras bernilai lebih RM150,000

Dua ditahan bersama rokok, minuman keras bernilai lebih RM150,000

Kudat: Dua lelaki ditahan selepas didapati memiliki rokok dan minuman keras disyaki tidak bercukai bernilai lebih RM150,000 yang disembunyikan di dalam sebuah kontena, di Jalan ACC Government Quarters, di sini, hari ini.

Dalam operasi jam 11.26 pagi itu, kedua-dua suspek berusia 37 dan 29 tahun terbabit pada awalnya ditahan di dalam sebuah kereta Perodua Viva berhampiran Pasar Besar Kudat, di sini.

Pemeriksaan lanjut kemudiannya menemui beberapa karton rokok dipercayai diseludup di dalam kenderaan berkenaan sebelum kedua-dua mereka ditahan untuk membantu siasatan.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, operasi berkenaan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Batalion 16 PGA Kota Kinabalu menerusi Op Kontraban, selepas menerima maklumat awam.

Katanya, selepas ditahan, kedua-dua suspek kemudiannya membawa pasukan operasi ke kawasan lapang yang dijadikan tempat penyimpanan sebuah kontena.

“Pemeriksaan lanjut kemudiannya membawa kepada penemuan ratusan karton rokok dan minuman keras yang disyaki tidak bercukai.

“Semua barangan berkenaan kemudiannya dirampas dan kedua-dua suspek terus ditahan untuk membantu siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdul Rani berkata, pemeriksaan badan terhadap kedua-dua suspek tidak menemui sebarang kesalahan dan mereka dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, dua kenderaan Perodua Viva dan Perodua Rusa turut dirampas bagi membantu siasatan lanjut dan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM183,226.05 berdasarkan harga pasaran semasa.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|