Waspada individu menyamar sebagai pekerja SESB

Waspada individu menyamar sebagai pekerja SESB

Kota Kinabalu: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) mengingatkan pengguna supaya berwaspada terhadap individu yang menyamar sebagai pekerja SESB untuk membuat pemeriksaan sistem pendawaian dalaman premis dan mengutip bayaran perkhidmatan daripada orang awam.

Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) SESB, Ir Idris Mohd Noor, berkata kerja pendawaian dalaman premis hanya boleh dilakukan oleh seseorang yang mempunyai sijil pendawaian dan kompeten dikeluarkan Suruhanjaya Tenaga.

Beliau menjelaskan bahawa SESB hanya melantik kontraktor bagi menjalankan kerja-kerja menanggalkan meter elektrik bagi akaun yang sudah ditutup dan skop kerja itu tidak termasuk menanggalkan pendawaian dalaman premis pengguna.

“Kita juga mengingatkan pengguna bahawa ketika ini kerja pendawaian dalaman tidak termasuk dalam skop kerja senggaraan SESB,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas satu mesej yang ditularkan melalui aplikasi Whatsapp berhubung sekumpulan lelaki menyamar sebagai anggota kerja SESB memasuki premis pengguna di bandar raya Kota Kinabalu dan memaklumkan kepada mereka mengenai kerosakan pendawaian elektrik mereka.

“Penyamar turut memaklumkan pemilik premis untuk segera membuat pembayaran di pejabat SESB di Asia City bagi tujuan menukar meter dan kegagalan mereka berbuat demikian akan menyebabkan bekalan elektrik mereka dipotong,” katanya.

Beliau berkata, urusan pembayaran perkhidmatan SESB hanya boleh dibuat di kaunter SESB di semua pejabat SESB dan warga kerja SESB dibenarkan menerima sebarang bayaran berbentuk tunai walaupun bagi pihak syarikat.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|