RM1.2 juta bantuan BUDI kepada 670 pelajar

RM1.2 juta bantuan BUDI kepada 670 pelajar

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri mengagihkan sebanyak RM1.2 juta menerusi Program Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI) kepada 670 pelajar di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata bantuan BUDI adalah antara usaha diambil kerajaan negeri bagi membantu pelajar yang meneruskan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda dan diploma.

“Pihak Yayasan Sabah menerusi BUDI menyalurkan bantuan one off sebanyak RM2,000 kepada 479 pelajar yang mengikuti pengajian di peringkat ijazah sarjana muda, manakala sebanyak RM1,500 seorang kepada 168 pelajar peringkat Diploma serta 23 pelajar di peringkat persedian.

“Selain bantuan BUDI, kerajaan negeri turut memberi Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI) bagi pelajar yang menduduki peperiksaan SPM, Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) sebanyak RM200 seorang.

“Inisiatif lain yang turut dilaksanakan ialah pengagihan 10,000 komputer riba menerusi Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) kepada pelajar yang tidak berkemampuan dan bakal menduduki peperiksaan penting,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyerahan Surat Tawaran JPA dan Bantuan Pendaftaran IPT (BUDI) kepada pelajar B40 di Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Arifin Ariff; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman; Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Safar Untong; Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Dr Zulkapli Mohamed dan Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin.

Hajiji berkata, kerajaan negeri sentiasa beriltizam bagi memastikan tiada golongan yang tercicir dalam mendapatkan pendidikan yang terbaik dan berkualiti.

Jelasnya, kerajaan amat prihatin terhadap bebanan kos pendidikan yang ditanggung ibu bapa, khususnya golongan B40.

“Setakat ini, bagi bantuan BUDI seramai 1,079 pelajar telah diluluskan daripada lebih kurang 5,000 yang dijangka menerima faedah ini membabitkan peruntukan RM10 juta.

“Bagi bantuan BAKTI pula, kerajaan juga memperuntukkan sebanyak RM7.6 juta yang akan memberi manfaat kepada seramai 37,835 pelajar.

“Bantuan BAIK pula, setakat ini sebanyak 7,714 komputer riba telah diagih kepada pelajar dan selebihnya iaitu 2,272 lagi akan diagih sebelum hujung bulan ini.

“Ini adalah antara inisiatif kerajaan negeri bagi memastikan tiada golongan yang tercicir daripada menerima akses kepada pendidikan berkualiti,” katanya.

Jelasnya, kerajaan amat prihatin terhadap bebanan kos pendidikan yang ditanggung oleh ibu bapa, khususnya golongan kurang berkemampuan dan berusaha untuk menambah peruntukan bagi bantuan pembiayaan pendidikan dan latihan sama ada dalam bentuk biasiswa, geran atau pinjaman.

“Kerajaan sentiasa komited dalam pembangunan modal insan khususnya dalam menyalurkan sejumlah peruntukan yang besar setiap tahun bagi membangunkan dan melahirkan modal insan yang berkualiti tingg,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata kerajaan persekutuan menerusi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam Program Pemberian Dermasiswa, juga memperuntukkan lebih RM40 juta kepada 670 pelajar asal Sabah bagi melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang di Institut Pengajian Tinggi (IPT) dalam dan luar negara.

“Seramai 670 orang pelajar Bumiputera Sabah telah dipilih di bawah program ini dan seramai 59 pelajar hadir dalam majlis pada petang ini.

“Pelajar yang telah memperolehi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang cemerlang ini akan mengikuti pelbagai program dalam pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda dan Diploma.

“Saya meminta pelajar memanfaatkan sepenuhnya peluang diberikan dengan belajar bersungguh-sungguh kerana anda semua adalah tonggak serta harapan keluarga bagi membina masa depan yang lebih baik,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|