Papar, KK, Tenom kawasan wabak baharu virus ASF

Papar, KK, Tenom kawasan wabak baharu virus ASF

Kota Kinabalu: Jangkitan Demam Babi Afrika (ASF) kini merebak di daerah Papar menjadikan daerah itu kawasan wabak baharu ASF di Sabah selepas virus penyakit itu dikesan di Kampung Kogopon dan Kampung Purak pada 14 September lalu.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, berkata virus itu menyebabkan kematian 91 babi di kedua-dua kampung berkenaan dalam tempoh dua minggu menyebabkan kerugian mencecah RM50,000.

“Setakat ini, virus berkenaan hanya menjangkiti babi yang diternak penduduk kampung dan bukan ladang ternakan babi komersial. Di ladang komersial terdapat kira-kira 9,400 ternakan babi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jeffrey yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan negeri, berkata selain Papar, dua lagi daerah turut diisytiharkan kawasan wabak ASF iaitu Kota Kinabalu pada 30 September lalu dan disusuli Tenom pada 13 Oktober.

Katanya, penularan virus ASF di ibu negeri dan Tenom juga hanya menjangkiti babi yang diternak penduduk kampung dan kes diklasifikasikan sebagai terasing.

“Pada masa ini, kementerian belum memutuskan untuk memusnahkan semua babi di daerah terbabit kerana kes ASF itu adalah terasing dan babi di ladang komersial didapati bebas ASF selepas beberapa ujian.

“Sehubungan itu, kementerian yakin bekalan daging babi untuk pasaran tempatan tidak akan terganggu,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengekang penularan virus berkenaan, Jeffrey berkata kementeriannya akan terus mengawal pergerakan babi dan produk daging babi di daerah yang terbabit.

Katanya, kempen meningkatkan kesedaran di kampung dan lokasi bersesuaian turut dilaksanakan selain memantau aktiviti di ladang dan rumah penyembelihan di semua daerah yang dikesan wabak ASF.

Awal tahun ini, kawalan yang sama dilaksanakan di 19 daerah dan hasilnya tujuh daerah berjaya diklasifikasikan kepada zon kuning daripada merah selepas tiada kes baharu ASF dilaporkan dalam tempoh dua bulan lalu.

Daerah terbabit ialah Pitas, Kota Marudu, Beluran, Telupid, Tongod, Kinabatangan dan Sandakan.

Jeffrey berkata kementeriannya melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar akan terus memantau situasi ASF di Sabah dan mengambil tindakan sewajarnya memastikan industri ternakan babi tidak terjejas.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|