Makan-makan, kenduri cetus kluster baharu di Beaufort, Membakut

Makan-makan, kenduri cetus kluster baharu di Beaufort, Membakut

Kota Kinabalu: Aktiviti makan-makan dan kenduri dipercayai menjadi punca tercetusnya dua kluster baharu Covid-19 yang dilaporkan di dearah Beaufort dan daerah kecil Membakut hari ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata Kluster Kampung Bawan, Membakut dan Kluster Kampung Batu 66, Beaufort masing-masing berkaitan jangkitan di tempat kerja dan komuniti.

Katanya, Kluster Kampung Bawan membabitkan petugas di sebuah klinik kerajaan di Membakut serta ahli keluarga mereka.

“Penularan jangkitan bagi kluster ini dipercayai berpunca daripada aktiviti makan-makan di rumah keluarga kes indeks di Kampung Bawan seminggu sebelum dikesan positif. Majoriti kes positif adalah melibatkan ahli keluarga dan rakan sekerja,” katanya dalam kenyataan media malam ini.

Masidi berkata, kes indeks ialah seorang petugas kesihatan lelaki berumur 31 tahun dan tinggal di kuarters kerajaan bersama rakan setugas apabila bertugas atas panggilan.

Katanya, kes indeks disahkan positif melalui ujian RTK Antigen pada 7 Oktober 2021 di Klinik Kesihatan Membakut setelah demam dan batuk sejak 4 Oktober 2021.

“Hasil saringan kontak rapat, 24 ahli keluarga dan 10 rakan setugas juga didapati positif. Bermula 7 Oktober sehingga 21 Oktober 2021, sebanyak 34 kes termasuk dua kes baharu dikesan hasil saringan ke atas 51 kontak,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata Kluster Kampung Batu 66 pula membabitkan kes indeks seorang wanita tempatan berumur 36 tahun yang disahkan positif melalui ujian PCR pada 8 Oktober 2021 di Hospital Beaufort selepas bergejala sejak 6 Oktober 2021.

Hasil penelitian, katanya penularan jangkitan dipercayai berpunca daripada kenduri kematian mendiang ayah kepada kes indeks yang ke-40 hari pada 4 Oktober 2021 di Kampung Batu 66 yang dihadiri oleh keluarga dan jiran terdekat.

Beliau berkata, selain itu, majlis pengebumian pada 11 Oktober 2021 juga dipercayai menyumbang kepada peningkatan jumlah kes positif Covid-19 dalam kalangan komuniti.

“Majoriti kes positif melibatkan ahli keluarga dan tetamu dari sekitar Mukim Montenior. Bermula 8 Oktober sehingga 21 Oktober 2021, sebanyak 29 kes termasuk dua kes baharu dikesan daripada 36 kontak yang telah disaring,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|