Lelaki terselamat dihempap runtuhan tanah

Lelaki terselamat dihempap runtuhan tanah

Semporna: Seorang pekerja binaan yang sedang melakukan kerja-kerja pembaikan paip nyaris maut selepas dihempap tanah runtuh dalam kejadian di Tanah Perkuburan Cina, Jalan Bubul, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 2.45 petang itu, mangsa berusia 22 tahun dikatakan terpaksa dikeluarkan menggunakan alat takal selepas terperangkap di dalam runtuhan berkenaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.55 petang.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan enam anggota dan pegawai bersama jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, mangsa masih berada di dalam runtuhan tanah berkenaan dan pasukan bomba terus menjalankan operasi mengeluarkan mangsa menggunakan takal.

“Mangsa yang masih berada dalam keadaan sedarkan diri diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS sebelum dihantar ke Hospital Semporna untuk mendapatkan rawatan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir sekitar kawasan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat pada jam 4.39 petang.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|