Bapa maut, anak cedera dalam kemalangan

Bapa maut, anak cedera dalam kemalangan

Papar: Seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera selepas sebuah van bertembung dengan kenderaan pacuan empat di Kampung Safoda, Jalan Papar, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, mangsa, pemandu van, Faizal Lorong, 49, disahkan meninggal dunia dipercayai akibat kecederaan parah.

Manakala dua lagi mangsa iaitu anak lelaki pemandu van berusia 15 dan pemandu Toyota Hilux yang identitinya tidak dapat diperolehi dilaporkan hanya mengalami kecederaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.43 malam.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan 10 anggota dan pegawai bersama jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu van Nissan Vanette didapati tersepit di tempat duduk pemandu dan operasi mengeluarkan mangsa terus dijalankan.

“Mangsa kemudiannya berjaya dikeluarkan dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang turut hadir di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut manakala dua lagi mangsa diberikan rawatan oleh pasukan EMRS.

Katanya, kedua-dua mangsa yang terselamat kemudiannya dihantar ke Hospital Papar dan Hospital Queen Elizabeth II menggunakan ambulans untuk rawatan selanjutnya.

“Pasukan bomba seterusnya melakukan pemeriksaan akhir sekitar kawasan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat pada jam 11.17 malam,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|