Covid-19 Sabah: 2 kluster baharu direkodkan di Beaufort

Covid-19 Sabah: 2 kluster baharu direkodkan di Beaufort

Kota Kinabalu: Dua kluster baharu Covid-19 direkodkan di daerah Beaufort hari ini, masing-masing berkaitan jangkitan di tempat kerja dan dalam komuniti.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata Kluster Bawan iaitu jangkitan di tempat kerja setakat ini menjangkiti 34 orang.

Katanya, satu lagi ialah Kluster Kampung Batu 66 berkaitan jangkitan dalam komuniti yang setakat ini menjangkiti seramai 29 individu.

“Kedua-dua kluster yang direkodkan pada hari ini adalah di daerah Beaufort. Bagaimanapun, kluster ini tidak mempengaruhi peningkatan kes yang direkodkan di Sabah hari ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sabah mencatat peningkatan sebanyak 225 kes kepada 651 kes hari ini berbanding 426 kes yang dilaporkan semalam.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata pada hari ini juga sebanyak 22 daerah di Sabah mencatat peningkatan kes, lima daerah mencatat penurunan kes dan hanya satu daerah iaitu Pitas merekodkan penurunan ketara sebanyak 15 kes.

“Seluruh kawasan bandar utama juga merekodkan peningkatan kes kecuali Penampang. Bagaimanapun, tiada daerah yang mencatatkan kes pada paras tiga angka dan hanya dua daerah yang mencatat kes harian melebihi 50 kes.

“Faktor yang mempengaruhi peningkatan kes pada hari ini adalah disebabkan terdapat banyaknya daerah yang mencatatkan peningkatan ketara seperti Beaufort (+38 kes), Kudat (+35 kes), Lahad Datu (+22 kes), Tawau (+20 kes), Papar (+16 kes), Kota Belud (+15 kes), Keningau (+13 kes), Beluran (+13 kes) dan Sipitang (+10 kes),” katanya.

Beliau berkata, sejumlah 228 kes atau 35.02 peratus adalah kes daripada saringan bergejala yang sinonim kepada kes-kes sporadik.

Katanya, walaupun kes yang dilaporkan pada hari ini tinggi berbanding semalam, hanya 400 kes atau 61.44 peratus adalah kes yang berlaku dalam tempoh 24 jam yang lalu.

“Kes yang selebihnya adalah kes yang didaftar lewat dua hari atau lebih lama setelah keputusan saringan diketahui.*

“Sebanyak 94.93 peratus daripada kes yang direkodkan hari ini hanya dalam Kategori 1 dan Karegori 2 yang lazimnya hanya memerlukan rawatan dan penilaian di rumah atau PKRC.

“Terdapat empat kes dalam Kategori 3, lapan kes dalam Kategori 4 dan tiga kes dalam Kategori 5. Sejumlah 18 kes lagi masih dalam penilaian JKNS.

“Masyarakat digesa agar terus mematuhi SOP yang telah digariskan bagi membendung penularan virus Covid-19,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|