Curi kabel TM sepanjang 5,500 meter, dua ditahan

Curi kabel TM sepanjang 5,500 meter, dua ditahan

Beaufort: Polis berjaya menumpaskan kegiatan mencuri kabel Telekom Malaysia (TM) dalam dua kejadian di Jalan Sipitang – Beaufort berhampiran Kampung Bukau dan Jalan Kilang Sawit Borneo Samudera Sdn Bhd, di sini, dengan penahanan dua lelaki, hari ini.

Kedua-dua lelaki berusia 18 dan 25 tahun itu berjaya ditahan jam 1 pagi tadi, dalam serbuan yang dijalankan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Tamalangalong Weston, di sini.

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, kes pertama dilaporkan berlaku pada jam 4.33 petang, 9 Disember lalu apabila pihak TM mendapati kabel milik syarikat hilang dan mengakibatkan gangguan perkhidmatan.

Katanya, hasil siasatan, dua pekerja TM yang ditugaskan untuk memantau dan menjaga kabel TM mendakwa ternampak sebuah kenderaan jenis Proton Iswara Aerobik berwarna hijau bergerak meninggalkan kawasan berkenaan dalam keadaan mencurigakan.

“Kenderaan berkenaan dipercayai melarikan diri selepas menyedari kehadiran pekerja TM yang membuat rondaan di kawasan tempat kejadian.

“Hasil siasatan, polis kemudiannya menahan kedua-dua suspek dan mereka mengaku terbabit dalam enam kes kecurian kabel TM yang dilaporkan berlaku di daerah ini,” katanya dihubungi, hari ini.

Yusoff Zaki berkata, siasatan mendapati kedua-dua suspek terbabit dalam kes kecurian kabel sepanjang 5,500 meter yang dianggarkan bernilai RM155,375.

Katanya, kedua-dua suspek turut didapati mempunyai kes jenayah lampau membabitkan jenayah dadah.

“Permohonan reman terhadap kedua-dua suspek akan dipohon untuk meneruskan siasatan mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|