Polis buru suspek samun RM120,000

Polis buru suspek samun RM120,000

Keningau: Seorang kerani wanita di sebuah pasar raya, cedera ditikam dalam insiden samun dihadapan sebuah bank di pekan Tambunan di sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, mangsa, 20-an, yang cedera di perut dikatakan membawa wang majikan hasil jualan bernilai RM120,000.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim berkata, wang berkenaan berjaya dilarikan oleh suspek dalam kejadian itu.

Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim

Katanya, ketika kejadian mangsa bersama rakan keluar dari kereta menuju ke bank untuk memasukkan wang majikannya ke bank.

“Ketika itu, rakan mangsa menunggu di dalam bank. Bagaimanapun mangsa kembali semula ke kereta kerana terlupa MyKad miliknya.

“Ketika dalam perjalanan ke kereta, seorang individu tidak dikenali memakai topi keleder dan baju hitam terus menyerang dan menikam mangsa dibahagian perut sebelum menyamun beg duit dibawa mangsa lalu melarikan diri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nor Rafidah berkata, mangsa wanita yang cedera itu kemudiannya dihantar ke Hospital Keningau untuk rawatan lanjut.

Katanya, polis sedang giat mengesan suspek dan menjalankan Op Tutup di sekitar pekan Tambunan.

“Anggota polis juga sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menyalurkan kepada polis untuk membantu siasatan,”katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|