Kerajaan negeri hargai pengorbanan barisan hadapan – Hajiji

Kerajaan negeri hargai pengorbanan barisan hadapan – Hajiji

Tuaran: Kerajaan negeri amat menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus tanpa mengira masa demi untuk mengekang penularan pandemik Covid-19 di Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata keputusan kerajaan melonggarkan lebih banyak sektor ekonomi, menyebabkan tugas dan tanggungjawab petugas barisan hadapan juga semakin bertambah.

Hajiji menyampaikan sijil penghargaan kepada barisan hadapan daerah Tuaran.

Beliau berkata, semua pihak masih berusaha menangani krisis kesihatan yang mengorbankan banyak jiwa dan memberi impak negatif yang amat besar terhadap ekonomi, sosial dan cara hidup masyarakat global.

“Pandemik ini juga mengubah gaya hidup rakyat kepada norma baharu dengan pengamalan prosedur operasi standard (SOP) yang dikuatkuasakan dan perlu dipatuhi.

Hajiji menerima cenderamata daripada Pegawai Daerah Tuaran, Sadan Hussain.

“Kerajaan negeri berharap hubungan yang erat di antara barisan petugas hadapan dan juga masyarakat dapat dikekalkan agar kita dapat menjaga keselamatan, keamanan dan kemakmuran di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penghargaan Sekalung Budi kepada Barisan Hadapan Daerah Tuaran di Grand Ballroom Rasa Ria Resort, di sini, semalam.

Hajiji berharap rakyat secara keseluruhannya membantu kerajaan menangani pandemik Covid-19 dengan mematuhi sepenuhnya SOP yang dikuatkuasakan oleh pihak berkuasa.

“Kita bantu barisan hadapan dan sama-sama memikul tanggungjawab untuk melindungi keluarga, komuniti dan negara daripada pandemik Covid-19,” katanya.

Pada masa sama, beliau juga menyeru petugas barisan hadapan agar memberikan kerjasama dan sokongan padu kepada kerajaan dengan membantu menjayakan aspirasi pembangunan negeri sejajar dengan Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Katanya, setelah hampir dua tahun berlalu, rakyat pasti sudah dapat mengadaptasi persekitaran kerja dengan norma baharu.

Sementara itu, Hajiji juga mengucapkan syabas dan tahniah kepada seluruh warga kerja Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah Tuaran di bawah kepimpinan Pegawai Daerah yang komited memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat ketika pandemik Covid-19.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|