Sawit Kinabalu bayar dividen RM14 juta

Sawit Kinabalu bayar dividen RM14 juta

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri hari ini menerima bayaran dividen interim ketiga lebih RM14 juta daripada Kumpulan Sawit Kinabalu.

Pembayaran dividen interim itu disampaikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan Sawit Kinabalu, Datuk Bacho Jansie kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong yang mewakili kerajan negeri.

Majlis itu disaksikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor pada Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Sawit Kinabalu, di sini.

Sawit Kinabalu berjaya merekod keuntungan sebanyak RM333 juta sebelum cukai berbanding unjuran sebanyak RM131 juta iaitu yang tertinggi dalam sejarah sejak syarikat itu diperbadankan 25 tahun lalu.

Bacho berkata, melalui keuntungan yang diperoleh, Sawit Kinabalu membayar RM14.448 juta kepada kerajaan negeri sebagai dividen interim yang ketiga selepas pembayaran dividen bagi suku pertama dan kedua 2021 iaitu sebanyak RM10 juta pada September lalu.

“Jumlah dividen yang dibayar sebanyak RM24.4 juta pada tahun ini adalah pertambahan kepada jumlah dividen sebanyak RM1.2 bilion yang telah dibayar kepada pihak kerajaan negeri sejak 1996,” katanya pada majlis penyerahan dividen berkenaan.

Sebelum itu, turut berlangsung acara menandatangan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Sawit Kinabalu Sdn Bhd dengan Hernan Corporation Sdn Bhd bagi projek kerjasama menjalankan penanaman durian.

MoU itu juga ditandangani oleh Bacho dan Ketua Pegawai Eksekutif Hernan Corporation Sdn Bhd, Anna Teo.

Kerjasama itu untuk membangunkan projek tanaman durian termasuk pemasaran dan pengeksportan durian asli serta produk nilai tambah berasaskan durian ke pasaran domestik dan antarabangsa seperti Australia, China, Jepun, Amerika Syarikat dan lain-lain lagi.

Melalui kerjasama strategik itu, Hernan Corporation Sdn Bhd akan membantu Kumpulan Sawit Kinabalu dalam perkongsian maklumat dan kepakaran, penyelidikan dan teknologi untuk memastikan projek berkenaan dapat membuahkan pulangan yang lumayan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|