Sabah komited bangunkan modal insan berkemahiran tinggi

Sabah komited bangunkan modal insan berkemahiran tinggi

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri komited untuk membangunkan lebih banyak kumpulan modal insan yang berkemahiran tinggi dalam bidang sains, teknologi dan inovasi di negeri ini ketika ekonomi global memasuki Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata dalam Belanjawan 2022 Sabah, kerajaan negeri tidak hanya memberi tumpuan kepada pertumbuhan dan pemulihan ekonomi tetapi juga pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat.

“Sehubungan itu, sebanyak RM127.06 juta telah diperuntukkan kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi untuk Program Pembudayaan dan Pengadaptasian Sains, Teknologi dan Inovasi di negeri ini.

“Peruntukan sebanyak RM500,000 bagi melaksanakan Kajian Kemungkinan Pembangunan IR4.0 Advancement Centre di Sabah Skills & Technology Centre juga diberikan supaya bakat modal insan di Sabah terus digilap bagi memenuhi kehendak industri semasa,” katanya dalam teks ucapan yang disampaikan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian pelancaran Bosch Rexroth Cyber Physical Training System I4.0 dan majlis penyampaian sijil tamat program Skills For Prosperity di Sabah Skills & Technology Centre (SSTC) di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), di sini, hari ini.

Beliau dalam pada itu menyatakan perasaan gembiranya kerana SSTC kini sedang melaksanakan program ‘Skills for Prosperity’ menerusi kerjasama dengan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan Suruhanjaya Tinggi British, di Kuala Lumpur.

“Program ini adalah yang pertama di Sabah dan bagi pihak kerajaan negeri, saya ingin merakamkan terima kasih serta penghargaan kepada pihak Suruhanjaya Tinggi British dan ILO kerana masing-masing membiayai dan menyelaras program ini,” katanya.

Tambahnya, dua daerah dipilih sebagai projek perintis iaitu di Ranau (keusahawanan pemprosesan makanan) dan Tuaran (penerapan elemen Teknologi dan pemprosesan makanan) dengan membabitkan seramai 50 peserta yang bermula pada November lalu.

“Program ini sejajar dengan teras kedua dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), oleh itu kumpulan sasar adalah daripada golongan B40, wanita terutamanya ibu tunggal dan juga belia,” katanya.

Terdahulu, seramai 25 pelatih di Ranau menerima sijil Kemahiran Entrepreneurial Skillset for Food Processing Industry manakala seramai 25 pelatih di Tuaran menerima sijil kemahiran Technology Integrated Employment Skills for Food Processing Industry.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Zainuddin Aman; Pengerusi Majlis Pengurusan SSTC, Datuk John Choo; Kaunselor Politik, Suruhanjaya Tinggi British di Kuala Lumpur, Tom Sheperd; Pegawai Kanan Program Skills for Prosperity Malaysia dari ILO, Shaza Scherazade Alauddin Onn dan Pengarah Bosch Rexroth Sdn Bhd, Royce Tan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|