Kota Kinabalu: Bekas Naib Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Datuk Ewon Ebin menyambut baik pelawaan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup yang mengajak beliau dan bekas ahli lain PCS menyertai parti itu.
Ewon berkata, pelawaan yang disampaikan dua hari lalu itu akan dibincangkan secara serius bersama bekas ahli yang lain.
“Kami akan membincangkan perkara ini dalam kalangan ahli kami dengan serius. Kami akan sampaikan keputusan kami terus kepada Kurup secepat mungkin.
“Kami juga mendapat sokongan daripada semua Bahagian PCS sebelum ini di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan media yang dikeluarkan Joseph pada Sabtu lalu berhubung pelawaan kepada Ewon dan bekas ahli PCS lain untuk menyertai PBRS.
Jumaat lalu, Ewon bersama Naib Presiden, Amru Abdul Kadir; Ahli Jawatankuasa Tertinggi, Datuk Kalakau Untol dan beberapa lagi pemimpin lain bertindak keluar parti itu.
Presidennya, Datuk Seri Anifah Aman dalam kenyataan berasingan mengambil maklum berhubung tindakan itu dan menganggap ia sebagai ‘lumrah politik’.
Bagaimanapun, Anifah dalam pada itu mendedahkan tindakan segelintir pemimpin berkenaan berkemungkinan disebabkan khuatir tidak terpilih lagi untuk menjawat penting parti apabila terdapat rombakan di dalam PCS yang dijadualkan berlaku pada tempoh terdekat.
-Deasoka