Cubaan seludup petrol, tong gas gagal

Cubaan seludup petrol, tong gas gagal

Semporna: Pasukan Polis Marin (PPM) menggagalkan cubaan menyeludup keluar barang kawalan ke negara jiran dalam kejadian di laut Bohey Dulang, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian 10.40 pagi itu, anggota PPM Semporna yang sedang menjalankan rondaan di kawasan berkenaan terserempak dengan sebuah bot pam dalam keadaan mencurigakan.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna, Deputi Superintendan Mohamad Ismail berkata, menyedari kehadiran pihak berkuasa, dikesan dua lelaki dewasa yang berada di atas bot bertindak terjun dan melarikan diri ke kawasan cetak di pulau Bohey Dulang.

Katanya, pemeriksaan ke atas bot menemui beberapa tong pelbagai saiz berisi petrol dan satu unit tong gas.

“Petrol dan tong gas beserta bot ditahan kerana disyaki hendak diseludup ke negara jiran Filipina.

“Rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Semporna untuk diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Semporna,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad berkata, nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM4,280.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Sehubungan itu, katanya PPM Wilayah Empat Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang.

“Maklumat boleh disalurkan secara terus ke talian 24 jam atau menggunakan aplikasi WhatsApp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 0139391197,” ujarnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|