Tawau: Seorang wanita maut manakala dua yang lain cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabas dan terbalik di Jalan Kampung Gudang 4, di sini, malam tadi.
Mangsa yang belum dikenalpasti identitinya disahkan meningga dunia di lokasi nahas oleh pegawai perubatan dari Hospital Tawau.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 8.58 malam.
Menurutnya, kemalangan membabitkan kereta jenis Perodua Myvi yang dipercayai terbabas sendiri.
“Empat mangsa terbabit dan seorang wanita disahkan meninggal dunia manakala dua mangsa cedera iaitu wanita dan lelaki berusia 20 dan 19 tahun diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS sebelum dihantar ke Hospital Tawau menggunakan jentera EMRS dan ambulans.
“Seorang lagi mangsa wanita berusia 19 tahun tidak mengalami kecederaan,” katanya di sini, hari ini.
Katanya, pasukan bomba kemudiannya melakukan pemeriksaan akhir sekitar kawasan bagi memastikan tiada bahaya lain sebelum operasi tamat jam 9.52 malam tadi.
-Deasoka