Semporna: Cubaan seorang juragan menyeludup keluar petrol dan minyak masak disyaki ke Filipina, gagal apabila ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) di kawasan laut utara Pulau Pom-Pom, di sini, semalam.
Juragan berusia 55 tahun ditahan bersama seorang lagi lelaki berusia 44 tahun oleh anggota PPM Semporna ketika membuat rondaan di kawasan berkenaan.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna, Deputi Superintendan Mohamad Ismail berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati beberapa tong berisi petrol tanpa dokumen ditemukan.
Katanya, suspek bersama perahu dan barang rampasan ditahan kerana disyaki hendak menyeludup ke Filipina.
“Semua petrol dan minyak masak beserta bot berkenaan ditahan dan dibawa ke Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan lanjut.
“Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM9,111.25. Kes disiasat mengikut Seksyen Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Mohamad berkata, PPM Wilayah Empat Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang secara terus ke talian 24 jam atau menggunakan aplikasi WhatsApp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 0139391197.
-Deasoka