Tindakan akan diambil terhadap pihak bertanggungjawab

Tindakan akan diambil terhadap pihak bertanggungjawab

Kota Kinabalu: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan mengambil tindakan tegas terhadap syarikat atau individu yang bertanggungjawab mempamerkan iklan pemberi pinjam wang menyerupai kertas kompaun DBKK.

Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Noorliza Awang Alip berkata, iklan berkenaan akan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan orang awam.

Katanya, pihaknya turut menerima aduan daripada orang awam selepas iklan berkenaan tular di laman sosial.

“DBKK akan mengenalpasti syarikat atau individu yang bertanggungjawab mengedarkan kertas iklan pemberi pinjam wang yang diselitkan pada cermin kereta orang awam menyerupai kertas kompaun DBKK di sekitar kawasan bandaraya Kota Kinabalu.

“DBKK juga menafikan tuduhan awam kertas iklan berkenaan adalah milik DBKK,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Noorliza berkata, modus operandi syarikat atau individu terbabit dipercayai cuba menarik perhatian orang awam untuk membaca kandungan risalah yang diedarkan.

“Kandungan risalah berkenaan mengandungi tawaran pinjaman wang dengan insentif yang tertentu untuk menarik perhatian awam.

“Setelah diperiksa, risalah berkenaan juga didapati tidak mempunyai lesen kebenaran yang dikeluarkan DBKK,” katanya.

Noorliza berkata, siasatan lanjut berhubung perkara ini akan dijalankan bagi mengesan syarikat atau individu bertanggungjawab.

Katanya, tindakan akan diambil mengikut Undang-Undang Kecil (Iklan) Bandaraya Kota Kinabalu 1983.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sebanyak RM5,000 mengikut peruntukan undang-undang yang sama.

“Pihak DBKK juga akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk membatalkan nombor talian yang tertera dalam risalah berkenaan,”’katanya.

Sehubungan itu, Noorliza berkata, DBKK sudah membuat laporan polis berkenaan perkara ini untuk siasatan lanjut mengikut Akta Pemberi Pinjam wang 1951.

“Saya menyeru kepada orang awam untuk bekerjasama bagi memaklumkan DBKK sekiranya mereka melihat mana-mana individu yang mengedarkan risalah promosi pemberi pinjam wang dalam apa jua bentuk di mana-mana kawasan bandaraya Kota Kinabalu.

“Maklumat berkenaan boleh disampaikan melalui talian DBKK Hotline ditalian 012-2220220,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|