RM42.9 juta bantuan kepada sekolah dan badan keagamaan bukan Islam di Sabah tahun ini

RM42.9 juta bantuan kepada sekolah dan badan keagamaan bukan Islam di Sabah tahun ini

Kota Kinabalu: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyalurkan kira-kira RM42.9 juta bantuan kewangan kepada sekolah dan badan keagamaan bukan Islam di Sabah pada tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata daripada jumlah itu sebanyak RM17.9 juta bantuan diagihkan kepada sekolah, antaranya sekolah persendirian Cina, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), tadika dan sekolah swasta.

Hajiji melakukan gimik perasmian KK Christmas Celebration 2021 di Padang Merdeka, Kota Kinabalu.

Beliau berkata, sebanyak RM24.9 juta pula diagihkan kepada badan keagamaan bukan Islam iaitu gereja, kuil dan tokong.

“Sebagai kerajaan yang prihatin dan saksama, kita akan meneruskan bantuan dan peruntukan kepada sekolah dan badan keagamaan bukan Islam di negeri ini.

Hajiji menerima cenderamata daripada Presiden Majlis Gereja-Gereja Sabah, Datuk Ir Jerry Dusing.

“Bantuan itu juga sebagai tanda dan bukti bahawa kerajaan GRS serius serta ikhlas dalam membantu semua lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kota Kinabalu Christmas Celebration 2021 anjuran Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Majlis Gereja-Gereja Sabah di Padang Merdeka, malam ini.

Hajiji berkata, kerajaan negeri komited memastikan perpaduan rakyat, keharmonian kaum dan toleransi beragama yang kukuh di negeri ini akan terus berkekalan.

Katanya, sebarang tindakan yang boleh menjejaskan perpaduan rakyat dan kestabilan kerajaan, perlulah dihindari bagi merealisasikan agenda pembangunan Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) sejajar usaha meningkatkan ekonomi dan memacu pembangunan negeri.

Jelasnya, kerajaan negeri sentiasa menyokong penganjuran apa juga festival, karnival dan program yang menjurus ke arah pemantapan perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum dan agama di negeri ini.

“Penganjuran festival Krismas dapat meningkatkan lagi semangat perpaduan, toleransi dan saling hormat menghormati dalam kalangan rakyat Sabah yang berbilang bangsa, kaum dan agama.

“Sememangnya semangat seumpama ini sudah lama diamalkan di Sabah dan ia juga sejajar dengan konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,” katanya.

Hajiji turut menyeru agar rakyat terus bersama-sama memastikan kemakmuran sosial dapat dipelihara dan dipertingkatkan bagi kesejahteraan dan manfaat bersama.

Katanya, kerjasama dan sokongan rakyat akan menyumbang kepada kejayaan dasar dan program yang sedang dilaksanakan di bawah SMJ.

Menyentuh mengenai perayaan Krismas yang akan disambut oleh penganut Kristian tidak lama lagi, beliau berkata ia adalah acara penting dan suci meraikan kelahiran Nabi Isa.

“Krismas juga adalah masa untuk kita muhasabah diri dan bersyukur. Ia juga adalah masa untuk mengingati mereka yang kurang bernasib baik daripada kita, yang menghadapi masa sukar akibat pandemik ini.

“Marilah kita bersama-sama mengingati mereka dalam doa dan bersama membantu setakat yang mampu,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|