19 jam padam kebakaran kilang kayu

19 jam padam kebakaran kilang kayu

Keningau: Pasukan bomba terpaksa mengambil masa hampir 19 jam bagi memadamkan sepenuhnya api kebakaran membabitkan sebuah kilang penyimpanan kayu getah di Kampung Patikang Ulu, di sini, hari ini.

Dalam kejadian yang bermula jam 12.30 tengah malam itu, kilang yang berkeluasan 1,728 meter persegi itu dilaporkan musnah sepenuhnya selepas api dikatakan terlalu besar dan sukar dikawal.

Pasukan Bomba dan Penyelamat menjalankan operasi pemadaman hampir 19 jam bagi memadamkan api kebakaran membabitkan sebuah kilang kayu getah di Kampung Patikang Ulu. Pix Ihsan Bomba

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.46 tengah malam.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan 22 anggota dan pegawai bersama sebuah jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, dikerah ke lokasi kejadian.

Kebakaran mengakibatkan keseluruhan kilang penyimpanan kayu getah musnah sepenuhnya. Pix Ihsan Bomba

“Operasi turut mendapat bantuan seramai 15 anggota dan pegawai dari BBP Sook, BBP Tenom dan BBP Tambunan bersama dua jentera.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kebakaran didapati turut membabitkan sebuah jentera excavator, empat jentera forklift, tiga jentera cutterpillar, 12 mesin multiblade dan sebuah lot cutter ,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, api kebakaran turut memusnahkan 450 pek Borak Boric Asid seberat 25 kilogram setiap satu dan beberapa biji tayar simpanan jentera berat yang menyebabkan api terlalu sukar dikawal.

Katanya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang hampir 200 meter dengan dua pancutan.

“Operasi pemadaman turut menggunakan satu aliran sepanjang lebih 150 meter dengan empat pancutan menggunakan sumber air dari jentera bomba dan air terbuka dari parit berhampiran.

“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dan api kebakaran dilaporkan berjaya dikawal pada jam 2.40 pagi.

“Pasukan bomba kemudiannya terus menjalankan operasi memadam api kebakaran bagi memastikan tiada lagi punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula,” katanya.

Menurutnya, pasukan bomba kemudiannya melakukan pemeriksaan akhir sekitar kawasan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat pada jam 7.35 malam tadi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|