RUU pindaan Perlembagaan Persekutuan kukuhkan kedudukan Sabah, Sarawak diluluskan

RUU pindaan Perlembagaan Persekutuan kukuhkan kedudukan Sabah, Sarawak diluluskan

Kota Kinabalu: Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mengembalikan kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai rakan setara dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diluluskan selepas mendapat sokongan majoriti dua pertiga Ahli Parlimen pada Persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Keputusan itu diumumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun selepas RUU itu mendapat sokongan majoriti dua pertiga menerusi undi belah bahagi bacaan kali kedua dan ketiga, seperti ditetapkan Perkara 159 Perlembagaan.

Pada bacaan kedua, RUU berkenaan mendapat 200 undi, manakala tiada ahli yang tidak bersetuju dan 20 Ahli Parlimen tidak hadir.

Bacaan kali ketiga pula menyaksikan sebanyak 199 undi menyokong, manakala tiada ahli yang tidak bersetuju dan 21 Ahli Parlimen tidak hadir ketika kiraan undi dijalankan.

RUU berkenaan sebelum itu dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata, pindaan Perlembagaan Persekutuan itu bertujuan mengukuhkan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|