Guru besar didenda RM3,000 didapati bersalah terima suapan

Guru besar didenda RM3,000 didapati bersalah terima suapan

Kota Kinabalu: Seorang guru besar dijatuhkan hukuman denda RM3,000 selepas didapati bersalah atas pertuduhan menerima suapan wang sebanyak RM1,000 daripada sebuah pusat zakat di negeri ini enam tahun lalu.

Tertuduh Majahil Majingkil, 60, dijatuhkan hukuman selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Abu Bakar Manat di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu, hari ini.

Menurut pertuduhan, tertuduh antara Julai hingga Oktober 2015 di sebuah sekolah di Kinabatangan telah menerima sesuatu yang berharga tanpa balasan iaitu sekeping cek daripada Pusat Zakat Sabah yang bernilai RM1,000.

Tertuduh mengetahui bahawa wang itu mempunyai hubungan dengan kerja rasmi tertuduh sebagai guru besar di sekolah berkenaan.

Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman Seksyen 165 Kanun Keseksaan iaitu dipenjarakan tidak lebih dua tahun atau dengan didenda atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh sebelum itu tidak mengaku bersalah terhadap pertuduhan asal namun mahkamah mendapati tertuduh bersalah dan menetapkan hukuman denda sebanyak RM3,000 atau sebulan penjara jika tidak membayar denda.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Mohd Faliq Basirudin dan tertuduh diwakili peguam, Datu Baginda Laja.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|