Semporna: Cubaan sekumpulan lelaki membawa keluar petrol bernilai RM113,552 dipercayai untuk diseludup ke negara jiran gagal apabila kegiatan mereka dikesan Pasukan Polis Marin (PPM) dalam operasi di kawasan Pondohan, laut Kuala Bibang, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, dua lelaki dikesan sedang memunggah barang dari sebuah rumah ke dalam dua bot laju oleh anggota PPM Semporna.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna, Deputi Superintendan Mohammad Ismail berkata, menyedari kehadiran polis, dua lelaki terbabit bertindak melarikan diri.

Katanya, pemeriksaan lanjut di rumah berkenaan menemui beberapa tong plastik berisi petrol.
“Seterusnya pemeriksaan terhadap dua bot laju juga menemukan beberapa lagi tong plastik berisi petrol.
“Siasatan mendapati petrol ini disyaki cuba diseludup keluar ke Filipina,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Mohammad berkata, jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM113,552.50 dan rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Semporna untuk siasatan lanjut.
Katanya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang secara terus ke talian 24 jam atau menggunakan aplikasi WhatsApp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 0132831197.
– Deasoka