ADUN Lumadan lancar inisiatif ‘food bank’

ADUN Lumadan lancar inisiatif ‘food bank’

Beaufort: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Ruslan Muharam melaksanakan inisiatif tabung makanan atau food bank dengan menempatkannya di beberapa masjid di kawasan DUN berkenaan.

Beliau berkata, inisiatif bantuan melibatkan 32 food bank yang dijalankan itu adalah bagi membantu masyarakat setempat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Saya terpanggil di sini untuk menyediakan 32 ‘food bank’ kepada semua rakyat Lumadan, selari dengan slogan Lumadan Sejahtera.

” Setakat ini, terdapat tiga masjid yang membekalkan makanan kepada golongan yang memerlukan, manakala 29 masjid akan menyusul kemudian,”katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Perkasa Realty Sdn Bhd berkata, bantuan makanan ‘food bank’ ini adalah untuk semua yang memerlukan tanpa mengira agama serta fahaman politik.

“Kepada mereka yang memerlukan,
silalah datang ke masjid yang berhampiran.

“Insya-Allah, kita akan bantu,” kata beliau selepas perasmian ‘food bank’ di Pekan Weston, Beaufort kelmarin.

Beliau dalam masa sama turut menyampaikan bantuan bakul makanan kepada beberapa penerima bantuan di program tersebut.

“Kita akan berusaha membantu penduduk Lumadan yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Saya merayu kepada semua mereka yang lain supaya dapat bersama-sama membantu menyumbangkan bantuan makanan,” katanya.

Menurut Ruslan, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dilaksanakan, 4,000 Ketua Isi Rumah (KIR) telah menerima bantuan bakul makanan bagi DUN Lumadan, termasuk penduduk kampung yang berada dalam kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|