MAFI keluarkan lebih 100,000 surat kebenaran bergerak sepanjang PKP

MAFI keluarkan lebih 100,000 surat kebenaran bergerak sepanjang PKP

Putatan: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sudah mengeluarkan lebih 100,000 surat kebenaran bergerak kepada nelayan, petani dan penternak sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, langkah itu terpaksa dilakukan bagi memastikan bekalan makanan negara sentiasa mencukupi dari semasa ke semasa.

Katanya, kumpulan itu diberikan kebenaran di seluruh negara tetapi harus mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dalam usaha mengekang penularan COVID-19.

“Mereka diberikan kebenaran ini yang dikategorikan sebagai sektor informal untuk pengesahan pergerakan, namun ia berbeza dengan surat kebenaran untuk industri agromakanan yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

“Sektor informal ini adalah untuk mereka yang terdiri daripada nelayan, petani dan penternak. Ia sangat penting bagi memastikan bekalan makanan kita tidak terjejas sepanjang pandemik dan kawalan pergerakan,” katanya kepada media di sini hari ini.

Terdahulu, Ronald turun padang meninjau Pasar Nelayan Kampung Pasir Putih di sini selain turut menyampaikan bantuan bakul makanan kepada 100 nelayan di kawasan itu yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Pada program sama, Ronald turut mengumumkan peruntukan RM450,000 untuk menaiktaraf pasar itu yang dicadang sebagai pusat sehenti bagi pemasaran ikan, pendaratan dan agropelancongan.

Ia berikutan lokasinya yang strategik dan berpotensi dimajukan untuk memberi manfaat kepada nelayan dan masyarakat setempat.

Sementara itu, Ronald dalam kenyataan yang dikeluarkan pada program itu menjelaskan, bekalan ikan mencukupi dan stabil bagi memenuhi keperluan negara ketika ini.

Katanya, purata bulanan bekalan ikan untuk tahun ini dijangka kekal stabil sekitar 169,000 tan metrik berbanding dengan keperluan negara sebanyak 125,000 tan metrik sebulan.

“Sektor perikanan adalah antara sektor penting yang dibenarkan beroperasi tertakluk kepada pematuhan SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Sebarang sekatan terhadap operasi sektor perikanan boleh menyebabkan sekuriti makanan negara terjejas sekaligus meningkatkan kebergantungan import,” katanya.

Ronald berkata, keadaan ini akan menjejaskan sumber ekonomi nelayan tempatan dan keseluruhan rantaian perikanan.

Dalam pada itu, Ronald menegaskan pendaratan ikan seluruh Sabah untuk enam bulan pertama tahun ini adalah membabitkan 107,000 tan metrik dengan nilai RM643 juta.

Manakala katanya, untuk tempoh sama Pasar Nelayan Kampung Pasir Putih merekodkan pendaratan hasil sebanyak 7,000 tan metrik dengan nilai RM35,000.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|