Arak bernilai hampir RM200,000 dirampas PGA

Arak bernilai hampir RM200,000 dirampas PGA

Kota Kinabalu: Dua lelaki yang dipercayai cuba membuat penghantaran minuman keras tanpa cukai kastam ditahan Pasukan Tiger Platon dari Batalion 20 Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah dalam operasi di Jalan Kampung Wonod, Telupid, semalam.

Dalam operasi jam 1.30 petang itu, kedua-dua lelaki berusia 31 dan 25 tahun yang menaiki sebuah Lori ditahan anggota Tiger Platon Batalion 20 PGA, Beluran yang menjalankan operasi ‘Operasi Khas Op Kontraban’ diketuai Pegawai Pemerintah Batalion 20 PGA Beluran, Asisten Komisioner Mohamed Rafiq Mohamed Mustafa.

Komander Briged Sabah PGA, Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, sebaik ditahan, pegawai dan anggota Tiger Platon Batalion 20 PGA Beluran terus mengarahkan suspek untuk membuka pintu tempat penyimpanan barang dibelakang lori.

Minuman keras yang dirampas pasukan Tiger Platon dari Batalion 20 PGA Beluran, Sabah.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut, pasukan operasi menemui sebanyak 16,920 tin minuman keras pelbagai jenis.

“Semua minuman berkenaan dipercayai tidak bercukai dan dibawa masuk secara seludup untuk pasaran tempatan.

“Kedua-dua suspek terus ditahan bagi membantu siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, harian metro, hari ini.

Mohd Abduh berkata, semua minuman keras yang dirampas dianggarkan bernilai RM195,468 berdasarkan harga pasaran semasa.

Katanya, lori yang digunakan untuk penghantaran barang turut dirampas dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Sementara itu, sepanjang tempoh 2 minggu sejak 1 Julai hingga 17 Julai tahun ini sahaja, PGA Sabah berjaya merekodkan 12 kes rampasan membabitkan pelbagai kes jenayah dari ke lima Batalion di Briged Sabah.

Mohd Abduh berkata, ia membabitkan tangkapan dan rampasan rokok, minuman keras, senjata api, dadah dan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Katanya, nilai rampasan keseluruhan juga membabitkan jutaan ringgit walaupun kebanyakan penjenayah cuba mengambil kesempatan sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“PGA akan meneruskan pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang bukan saja bagi membendung kerugian kepada negara tetapi juga menghalang jenayah daripada berleluasa,” katanya.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|