Cubaan seludup barang kawalan tumpas

Cubaan seludup barang kawalan tumpas

Kudat: Cubaan seorang lelaki menyeludup keluar barang kawalan di kawasan jeti Awam Esplanade Sidek, di sini berjaya dipatahkan Pasukan Polis Marin (PPM), semalam.

Individu berusia 47 tahun terbabit ditahan bersama pelbagai barang kawalan yang dianggarkan bernilai RM80,545.

Pegawai Pemerintah PPM Kudat, Asisten Superintendan Cyrill Douglas berkata, hasil pemantauan dan risikan mendapati lelaki terbabit membawa beberapa jenis barang kawalan.

Katanya, suspek dipercayai cuba membawa semua barangan berkenaan untuk diseludup ke negara jiran dengan menggunakan bot pancing miliknya.

“Hasil pemeriksaan, pasukan operasi menemui pelbagai jenis barang kawalan dan suspek gagal mengemukakan dokumen yang sah daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk tujuan berkenaan.

“Nilai keseluruhan tangkapan dan rampasan berjumlah RM80,545 berdasarkan harga pasaran semasa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Cyrill berkata, semua barang rampasan dan individu ditahan kemudiannya dibawa ke Markas Operasi PPM Kudat untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Sehubungan itu, Cyrill berkata, PPM Wilayah Empat Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang secara terus ke talian 24 jam.

Katanya, sebarang maklumat boleh disalurkan terus menggunakan aplikasi whatsapp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 0139391197.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|