UPKO sepakat bantu mangsa banjir

UPKO sepakat bantu mangsa banjir

Penampang: Tiga bahagian Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) sepakat untuk tampil memberikan sumbangan kepada penduduk terjejas akibat banjir di Kampung Sugud, di sini, hari ini.

Tiga bahagian berkenaan iaitu UPKO Sepanggar, UPKO Tuaran dan UPKO Penampang menyampaikan bantuan berbentuk makanan dan pakaian ke Dewan Gereja di Kampung Sugud, di sini.

Ketua Bahagian UPKO Sepanggar Datuk Wong Thien Fook berkata, sumbangan itu adalah bagi membantu meringankan bebanan mangsa banjir yang amat terkesan di kampung berkenaan.

Katanya, pelbagai jenis bantuan makanan disampaikan antaranya beras, minuman air mineral dan barangan makanan kering selain pakaian untuk kegunaan mangsa-mangsa banjir di sini.

“Kita berterima kasih kepada ahli-ahli UPKO yang bermurah hati sudi menyalurkan derma ikhlas untuk tujuan penyediaan bantuan makanan ini.

“Selain ahli UPKO, kita juga menerima sumbangan daripada beberapa orang perseorangan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan syarikat perniagaan yang turut menyokong usaha ini,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Turut hadir pada majlis sumbangan berkenaan, Datuk Jaina Sintian mewakili UPKO Tuaran dan Timbalan Ketua Bahagian UPKO Penampang Carl Mosoom.

Thien Fook berkata, sumbangan ini mungkin tidak setanding kerugian yang dialami penduduk di sini, namun ia diharap dapat meringankan bebanan yang dihadapi.

Sementara itu, Thien Fook berkata, usaha seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa dan ia bukan saja tertakluk kepada mangsa banjir atau bencana semata-mata.

Malah katanya, sumbangan seperti ini akan diteruskan kepada yang mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Ini juga adalah salah satu bukti ikatan kesepakatan antara ahli UPKO yang sentiasa bersatu hati membantu rakyat,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|