Cubaan seludup barang kawalan ditumpaskan

Cubaan seludup barang kawalan ditumpaskan

Kudat: Cubaan lima lelaki menyeludup keluar barang kawalan menerusi kawasan utara perairan Pulau Banggi, di sini, berjaya dipatahkan Pasukan Polis Marin (PPM), kelmarin.

Kelima-lima individu berusia 21 hingga 48 tahun terbabit ditahan bersama pelbagai barang kawalan yang dianggarkan bernilai RM61,839.

Pegawai Pemerintah PPM Kudat, Asisten Superintendan Cyrill Douglas berkata, semua barangan berkenaan dibawa menggunakan tiga pam bot dan sedang dikesan bergerak menuju ke perairan negara jiran.

Katanya, pemantauan dan risikan mendapati semua individu terbabit membawa barang-barang kawalan dipercayai untuk dijual di negara jiran Filipina.

“Hasil pemeriksaan, pasukan operasi menemui pelbagai jenis barang kawalan disyaki untuk diseludup ke negara jiran.

“Nilai keseluruhan tangkapan dan rampasan berjumlah RM61,839 berdasarkan harga pasaran semasa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Cyrill berkata, semua barang rampasan dan individu ditahan kemudiannya dibawa ke Markas Operasi PPM Kudat untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Sehubungan itu, Cyrill berkata, PPM Wilayah Empat Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang secara terus ke talian 24 jam.

Katanya, sebarang maklumat boleh disalurkan terus menggunakan aplikasi whatsapp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 0139391197.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|