3,100 ketua isi rumah di Kundasang terima bantuan bakul makanan

3,100 ketua isi rumah di Kundasang terima bantuan bakul makanan

Ranau: Seramai 3,100 ketua isi rumah (KIR) dari 85 kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kundasang menerima bantuan bakul makanan yang diagihkan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Joachim Gunsalam, hari ini.

Penyerahan bantuan berkenaan diadakan di pekan Kundasang dengan setiap kampung diwakili Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) sebelum diagihkan kepada penduduk yang disenaraikan.

Pengagihan bantuan berkenaan dikendalikan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) DUN Kundasang yang diketuai Dounis Sani bersama kakitangan UPPM dan Pejabat ADUN Kundasang.

Dr Joachim berkata bantuan bakul makanan itu diberikan kepada penduduk yang tersenarai dalam kategori B40 tanpa mengira fahaman politik.

“Mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19 akan mendapat bantuan ini. Kita juga akan terus berusaha untuk memastikan rakyat di sini mendapat bantuan.

“Saya akan pastikan rakyat DUN Kundasang mendapat bekalan makanan tanpa ada yang tercicir,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menasihatkan penduduk agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

“Covid-19 sudah berada dalam komuniti, oleh itu ia bergantung kepada kita untuk menjaga diri sendiri dan keluarga. Terus amalkan penjarakan sosial dan mengikut SOP,” katanya.

Sementara itu, Dr Joachim turut menjayakan program ‘Info on Wheels’ Merdeka bagi daerah Ranau anjuran Jabatan Penerangan Daerah Ranau.

Sebanyak 10 Jalur Gemilang diserahkan kepada beberapa penerima iaitu Pengerusi Gerai Peniaga Kundasang, Pengerusi JPKK Kampung Mesilau, Kampung Dumpiring dan UPPM Kundasang untuk dikibarkan di balai raya di sekitar Kundasang dan Ranau.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|