Cuba seludup kosmetik, dua ditahan

Cuba seludup kosmetik, dua ditahan

Semporna: Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB2) berjaya mematahkan cubaan penyeludupan barang kosmetik di perairan Pulau Danawan, di sini, semalam.

Kes itu berjaya dikesan hasil operasi rondaan yang dijalankan pada jam 6.51 petang selepas mengesan dua bot laju di kawasan berkenaan.

Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, kedua-dua bot berkenaan dikesan pasukan Viper 04 bersama Tim Quick Reaction Force (QRF) Pulau Danawan, selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, pasukan Viper 04 kemudiannya berjaya memintas sebuah bot laju manakala sebuah lagi berjaya meloloskan diri.

“Viper 04 bersama Tim QRF yang memintas bot laju berkenaan terus membuat pemeriksaan awal dan mendapati bot itu dinaiki dua awak-awak lelaki berusia 22 dan 26 tahun serta tiada dokumen pengenalan diri yang sah.

“Pemeriksaan turut menemui sebanyak 33 kotak mengandungi barangan kosmetik yang dianggarkan bernilai RM67,453,” katanya dalm kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, pasukan operasi turut menemui sebanyak 19 tong minyak kosong berkapasiti 40 liter.

Katanya, tong berkenaan dipercayai akan digunakan untuk mengisi minyak petrol bagi tujuan penyeludupan yang seterusnya.

“Bot berkenaan terus ditahan atas kesalahan melakukan aktiviti penyeludupan barangan terkawal yang melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961 dan juga awak-awak bot tiada dokumen pengenalan diri yang sah.

“Bot laju itu terus ditunda ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna manakala awak-awak bot terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Abdul Karim berkata, kedua-dua suspek turut dibawa ke Hospital Semporna bagi melaksanakan ujian saringan COVID-19 sebelum diserahkan semula kepada pihak IPD Semporna bagi siasatan lanjut.

Sehubungan itu, Abdul Karim berkata, kerjasama yang erat di antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM), ESSCOM, Polis, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Pasukan Polis Marin berada di tahap yang terbaik di dalam usaha menjamin keselamatan di Perairan Pantai Timur Sabah.

Katanya, anggota operasi juga diingatkan supaya sentiasa meningkatkan kesiagaan dan keupayaan operasi yang optimum bagi menangani cabaran keselamatan serta lain-lain ancaman sebilang masa.

“Operasi sentiasa dilaksanakan bagi memastikan sempadan negara selamat di dalam usaha menyekat jenayah rentas sempadan dan mengetatkan lagi kawalan sempadan melalui pelaksanaan Op PASIR dan Op BENTENG BERSAMA di Perairan Pantai Timur Sabah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|