Shahelmey komited bangunkan keusahawanan di Putatan

Shahelmey komited bangunkan keusahawanan di Putatan

Putatan: Pusat Khidmat Rakyat N24 Tanjung Keramat komited dalam menganjurkan kursus kemahiran dan keusahawanan untuk manfaat penduduk kawasan ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N24 Tanjung Keramat, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata ini bagi melahirkan lebih ramai masyarakat yang berkemahiran dan berdaya saing.

Jelasnya, ia seiring dengan aspirasi beliau untuk mempergiatkan aktiviti ekonomi serta perniagaan masyarakat setempat di daerah Putatan khususnya Tanjung Keramat.

“Kita ingin menambah bilangan usahawan ataupun usahawanita di daerah Putatan.

“Ini untuk mnggerakkan pertumbuhan ekonomi dan juga aktiviti-aktiviti perniagaan serta memberi peluang pekerjaan dan perniagaan kepada mereka yang gigih berusaha,” katanya.

Shahelmey berkata demikian pada majlis penutupan kursus gunting rambut anjuran Pusat Khidmat Rakyat N24 Tanjung Keramat di sini, semalam.

Shahelmey yang juga Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat berharap kemahiran yang diperolehi daripada kursus itu dapat terus dipraktikkan untuk menambah kemahiran di samping boleh menjana pendapatan tambahan.

“Ilmu yang dipelajari ini boleh menjadi satu kerjaya di masa hadapan jika terus dipraktikkan.

“Apa yang penting ialah menimba ilmu, disiplin diri, rajin berusaha dan seterusnya uruslah kewangan dengan baik dalam memulakan perniagaan agar boleh maju ke hapadan” katanya.

Seramai 20 orang belia daerah Putatan menyertai kursus yang dijalankan selama 10 hari itu.

Peserta didedahkan dengan kemahiran menggunting serta mendandan rambut daripada tenaga pengajar yang professional dari Institute Kecantikan Negeri Sabah (NUVIS).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|