Cabut lari kantoi punggah rokok seludup bernilai RM61,776

Cabut lari kantoi punggah rokok seludup bernilai RM61,776

Tawau: Kelibat sekumpulan lelaki memunggah kotak dalam keadaan mencurigakan membongkar kegiatan penyeludupan rokok di kawasan kampung di Tawau Lama, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8.15 malam itu, Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau yang menjalankan rondaan di kawasan perkampungan berkenaan terserempak dengan beberapa lelaki sedang memunggah kotak.

Bagaimanapun menyedari kehadiran pihak berkuasa, beberapa lelaki terbabit terus bertindak melarikan diri.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Tawau, Asisten Superintendan Ridzauddin Selamat berkata, pemeriksaan di kawasan berhampiran kelihatan beberapa kotak yang ditinggalkan.

“Hasil pemeriksaan kotak yang ditinggalkan kumpulan lelaki itu mendapati didalamnya berisi rokok seludup pelbagai jenis.

“Nilai rampasan rokok berkenaan dianggarkan berjumlah RM61,776,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ridzauddin berkata, semua barang rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Tawau untuk tindakan lanjut.

“Siasatan awal mendapati semua rokok berkenaan dipercayai tidak bercukai di bawa masuk dari negara jiran.

“Siasatan masih diteruskan mengikut Akta Kastam 1967,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya meminta masyarakat pesisir pantai untuk menyalurkan sebarang maklumat melalui aplikasi WhatsApp PPM Wilayah 4 Sabah di talian 0139391197.

“Orang ramai juga boleh berhubung terus ke Bilik Gerakan PPM Tawau di talian 089-983268 bagi memastikan kesalahan-kesalahan yang melanggari undang-undang negara dapat dibendung seterusnya mengekalkan keamanan dan keselamatan,” tegasnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|