Dr Yusuf diharap dapat beri impak kepada GRS

Dr Yusuf diharap dapat beri impak kepada GRS

Sipitang: Keputusan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob menjadi ADUN bebas diharapkan dapat mengukuhkan kerajaan di bawah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Sindumin, Sani Miasin berkata, beliau mengalu-alukan keputusan tersebut walaupun mungkin terdapat perbezaan dari segi konteks politik.

Jelasnya, beliau berharap agar selepas ini, tumpuan dapat diberikan terhadap isu-isu yang membelenggu masyarakat di daerah ini.

“Mungkin dari segi konteks politik, memang agak berbeza. Tetapi kita sebagai PPM menyambut baik kehadiran beliau dan membantu saya untuk menyuarakan masalah-masalah rakyat di DUN Sindumin.

“Diharapkan kehadiran beliau boleh memberi impak kepada kerajaan pada hari ini supaya dia bediri kukuh, di bawah kerajaan GRS,” katanya ketika diminta mengulas lanjut mengenai perkara itu.

Tambahnya, masyarakat di daerah ini sudah pasti mahukan tindakan diambil ke arah mempercepatkan lagi pembangunan di daerah ini.

“Masyarakat di daerah Sipitang ini memang menginginkan satu perubahan yang baik untuk masyarakat,” katanya lagi.
Sani berkata demikian ketika ditemui selepas Kursus Pemantapan Jentera Akar Umbi (Bengkel Asas Penulisan di Media Sosial/Wartawan Rakyat) yang diadakan di pejabat UPPM Sindumin, pada Sabtu.

Terdahulu, Datuk Yusof yang merupakan ADUN Sindumin telah menyatakan secara rasmi keputusan untuk keluar daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) dan menjadi calon bebas yang memberi sokongan penuh kepada kerajaan pada hari ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|