NGO gesa siasatan dakwaan wujud unsur rasuah babitkan ADUN keluar parti

NGO gesa siasatan dakwaan wujud unsur rasuah babitkan ADUN keluar parti

Putatan: Gerakan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Malaysia, hari ini membuat laporan polis meminta siasatan dilakukan berhubung dakwaan Parti Warisan Sabah (WARISAN) yang mengatakan berlaku unsur rasuah dalam kes keluar parti yang membabitkan wakil rakyatnya.

Presiden gerakan NGO terbabit, Datuk Fadli Fathullah, berkata dakwaan itu berdasarkan apa yang dinyatakan Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam sidang medianya, semalam.

Fadli berkata, tuduhan yang dibuat Ahli Parlimen Semporna itu amat berat dan pihak berkuasa, khususnya polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu melakukan siasatan untuk merungkai kebenarannya.

“Saya selaku Presiden Gerakan NGO Malaysia memohon siasatan lanjutan berkaitan kenyataan dan tuduhan dibuat Presiden WARISAN yang mendakwa terdapat unsur tawar menawar berbentuk imbuhan jawatan dan kewangan hingga menyebabkan berlakunya tindakan keluar parti dalam kalangan ahli parti itu baru-baru ini.

“Kenyataan dan tuduhan Presiden WARISAN melalui sidang medianya itu amat berat dan kami selaku Gerakan NGO Malaysia menggesa siasatan segera dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SPRM,” katanya dalam laporan polis yang dibuat di Balai Polis Putatan, siang tadi.

Dalam sidang medianya semalam, Mohd Shafie mendakwa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) WARISAN cuba dipengaruhi untuk keluar parti dengan tawaran sejumlah wang yang banyak untuk menyertai parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Pendedahan itu dibuat selepas ADUN Sindumin yang juga Ketua Penerangan WARISAN, Datuk Dr Yusof Yacob mengumumkan keluar parti dan menjadi ADUN Bebas yang menyokong kerajaan pada Jumaat lalu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|